Syed Danial ketuai 213 penerima pingat, darjah keputeraan Sultan Perak

Syed Danial ketuai 213 penerima pingat, darjah keputeraan Sultan Perak

MOHD. Zahidi Zainuddin (kiri) dalam sidang akhbar mengenai penganugerahan darjah kebesaran dan pingat sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Ipoh, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengetuai senarai 213 penerima darjah kebesaran dan pingat negeri Perak sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Beliau akan menerima Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Pe­rak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri semasa Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak pada 9 dan 16 November ini di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Menurut Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin, SPMP juga akan diterima oleh Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi dan Pengerusi Eksekutif Yee Lee Corporation, Datuk Lim Kok Cheong @ Lim A Heng.

“Syed Danial tidaklah asing bagi negeri ini dan pernah bertugas di Perak. Beliau pun ada terlibat secara tidak langsung, kita mendapatkan nasihat daripada beliau semasa pengisytiharan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak semasa pemasyhuran baginda,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Beliau menambah, Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gela­ran Datuk pula dianugerahkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron selaku penerima tunggal darjah tersebut.

Sementara itu, baki 209 lagi akan menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk kepada lapan orang penerima, Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan enam penerima, Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) 13 penerima dan Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) 28 penerima.

Selain itu, Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) kepada 14 penerima, Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) 39 penerima, Pingat Pekerti Terpilih (PPT) 61 penerima, Pingat Jasa Kebaktian (PJK) 30 penerima serta Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) 10 orang penerima.

Sesi pertama istiadat peng­anugerahan pada Sabtu, 9 November melibatkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) hinggalah kepada Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP).

“Darjah kebesaran, bintang dan pingat-pingat negeri Perak Darul Ridzuan pada tahun ini dikurniakan kepada mereka yang benar-benar layak, banyak berjasa kepada negeri dan mengharumkan nama negeri, serta memenuhi kriteria yang ditetapkan sahaja,” jelasnya.

Berpandukan ketetapan Dewan Negeri Perak, sambutan rasmi ulang tahun hari kepute­raan Sultan Perak ditetapkan pada Jumaat pertama November atau 1 November bagi tahun ini sekali gus merupakan cuti umum buat negeri ini.

“Rakyat negeri Perak Darul Ridzuan adalah diseru untuk bersama-sama meraikan dan menyemarakkan sambutan ulang tahun hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dengan mengibarkan bendera negeri di bangunan-bangunan pejabat, premis perniagaan dan kediaman masing-masing,” katanya.

Tambah beliau, Sultan Perak juga berkenan untuk membiayai hidangan makan tengah hari kepada banduan dan tahanan yang sedang menjalani hukuman di penjara, pusat koreksional dan pusat pemulihan akhlak di Perak sempena sam­butan ulang tahun hari keputeraan baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya