PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan usahasama baharu syarikat Malaysia, Yinson Group dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di Peru dengan pembukaan ladang solar di Arequipa yang kedua terbesar di negara itu.
Kata Perdana Menteri, peningkatan ketara perdagangan antara Malaysia-Peru merupakan manifestasi kesungguhan negara bagi memudahcara perdagangan dua hala dengan pelaksanaan dasar yang jelas.
Selain itu katanya, ia menunjukkan penekanan kerajaan kepada memudahcara perniagaan yang diamalkan demi manfaat rakyat dan hubungan baik kedua-dua negara.
“Saya percaya kerjasama ini merupakan satu bentuk usahasama global south yang bukan sahaja dalam bidang ekonomi malah dalam membentuk masa depan lestari yang akan memanfaatkan negara dan rakyat Malaysia dan juga Peru,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Anwar kini berada di Lima bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) APEC 2024.
Dalam persidangan itu, beliau dijangka menekankan komitmen Malaysia ke arah memperkukuh kerjasama ekonomi selain memupuk pembangunan yang saksama dan inklusif buat semua.- UTUSAN