GEORGE TOWN: Lelaki tempatan yang dikorek mata kirinya oleh seorang lelaki warga asing dalam pergaduhan di sebuah pangsapuri di Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor semalam dipercayai saling mengenali antara satu sama lain.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek dan mangsa merupakan jiran dan dipercayai berlaku perselisihan faham antara kedua-duanya.
“Mereka bergaduh dan kemudian suspek mengorek mata mangsa menggunakan jarinya,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, semalam.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun telah dikorek mata kirinya oleh seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun.
Difahamkan dalam pergaduhan itu, mata kanan mangsa juga dilaporkan mengalami kecederaan.
Dalam pada itu, Hamzah memberitahu, suspek yang mempunyai kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Ketika kejadian, mangsa dipercayai berada dalam keadaan mabuk. Semakan lanjut mendapati mangsa mempunyai beberapa rekod jenayah,” katanya.
Jelas Hamzah, ketika ini, mangsa masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan berada dalam keadaan stabil, namun dipercayai mengalami kecacatan kekal kerana bola matanya terkeluar.
Suspek direman sehingga Rabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, iaitu menyebabkan kecederaan parah dengan sengaja. – UTUSAN