Suspek curi kabel TM ditahan di Bentong - Utusan Malaysia

Suspek curi kabel TM ditahan di Bentong

SUSPEK lelaki Melayu ditahan polis berikutan kes curi kabel Telekom Malaysia di Simpang Masuk Bentong Makmur di Bentong, Pahang. - FOTO/IPD TEMERLOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Polis menahan seorang suspek lelaki Melayu berusia 40 tahun kerana disyaki mencuri kabel di kawasan Simpang masuk Bentong Makmur berdekatan bandar Bentong, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintenden Mazlan Hassan berkata, kira-kira pukul 4.40 pagi hari ini, polis menerima aduan orang awam yang ternampak dua buah kereta berwarna putih dalam keadaan mencurigakan, manakala kelihatan empat orang suspek sedang menarik kabel dari lubang utama milik Telekom Malaysia (TM).

“Tangkapan berjaya dilakukan membabitkan seorang suspek lelaki Melayu di kawasan berdekatan oleh sepasukan pihak polis IPD Bentong setelah kereta jenis Toyota Wish yang dinaiki oleh empat orang suspek terbabit terbabas di longkang taman perumahan di Bentong Makmur ketika cuba melepaskan diri.

“Usaha mengesan rakan suspek lain yang melarikan diri dan masih bebas sedang dilakukan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini.

Menurut Mazlan, polis merampas sebuah kereta jenis Toyota Wish warna putih termasuk kunci, 153 batang kabel TM yang sudah dipotong, lima bilah pemotong kabel, sebatang kunci lubang utama dan sebuah telefon bimbit jenis Vivo.

Ujarnya, suspek mempunyai 13 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan kecurian di Jerantut, Bandar Pusat Jengka dan Mentakab. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN