Suri rumah didakwa bersubahat culik ahli perniagaan, minta wang tebusan RM20j - Utusan Malaysia

Suri rumah didakwa bersubahat culik ahli perniagaan, minta wang tebusan RM20j

CHAN WAN KOOI (baju merah) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan bersubahat dengan tiga lelaki menculik seorang ahli perniagaan pada 13 Oktober lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini bagi tuduhan bersubahat dengan tiga individu melakukan penculikan seorang ahli perniagaan bagi menuntut wang tebusan sebanyak RM20 juta, bulan lalu.

Tertuduh, Chan Wan Kooi, 57, mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Hazeelia Muhammad.

Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Wan Kooi didakwa bersubahat dengan Chong Shih Ming, Luong Van Tung dan Tran Van Chung melakukan kesalahan menculik seorang ahli perniagaan berusia 59 tahun dengan tujuan menuntut wang tebusan RM20 juta di sebuah rumah dekat Jalan Straits View, di sini kira-kira pukul 5 pagi, 13 Oktober lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 (Akta 365) yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 40 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Umar Faiz Abdul Kohar dan Nor Maisarah Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Jagjit Singh Bant Singh serta Fairoz Elyas Majeed dan Ng Kian Pin bertindak sebagai peguam pemerhati.

Umar Faiz membantah sebarang jaminan diberikan terhadap tertuduh memandangkan kes itu adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, namun Jagjit Singh memohon jaminan dibenarkan atas faktor anak guamnya ditahan reman selama 14 hari sebelum ditahan semula.

Katanya, ibu kepada tiga anak berusia 28 hingga 36 tahun itu juga mengalami masalah kesihatan dan pernah dirujuk ke pusat jantung di Singapura pada Julai lalu.

Mahkamah kemudian menolak permohonan pihak pembelaan dan tiada sebarang jaminan dibenarkan serta menetapkan 17 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya