Sultan Selangor dukacita pihak tiada kepakaran pertikai fatwa

Sultan Selangor dukacita pihak tiada kepakaran pertikai fatwa

Fatwa
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan perasmian ‘Multaqa Sultan Idris Shah Alhaj: Ilmu Tasawwuf Merungkai Masalah Ummah’ dan melancarkan Jurnal Fatwa dan Falak Selangor (Juffas), Sistem Taudhih Al-Ahkam dan Sistem e-Falak Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita terhadap pihak yang sewenang-wenangnya mempertikai fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

Baginda bertitah, amat mendukacitakan apabila pihak mempersoal dan mempertikaikan itu adalah mereka yang tidak mempunyai kepakaran berkaitan hukum syarak.

“Beta ingin menyatakan, proses pembuatan sesuatu fatwa dilakukan dengan begitu teliti dengan mengambil pandangan daripada banyak pihak terutama daripada anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan pakar-pakar hukum syarak sebelum ianya diangkat bagi mendapat perkenan Beta dan seterusnya diwartakan.

“Oleh itu, beta menyeru agar segelintir umat Islam yang sering mempersoalkan tentang fatwa untuk memahami terlebih dahulu tentang sesuatu fatwa yang dengan merujuk kepada pihak berkuasa agama sekiranya terdapat sebarang kekeliruan atau persoalan berbangkit,” titah baginda yang berkenan mencemar duli merasmikan ‘Multaqa Sultan Idris Shah Alhaj: Ilmu Tasawwuf Merungkai Masalah Ummah’, hari ini.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin turut berkenan berangkat ke Majlis Pelancaran Jurnal Fatwa dan Falak Selangor (Juffas), Sistem Taudhih Al-Ahkam dan Sistem e-Falak Selangor.

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap pengamalan tasawuf dan tarekat tidak tepat serta penyampaiannya daripada guru yang tiada tauliah.

“Terdapat golongan yang tidak memahami ilmu itu dengan tepat atau yang belajar dari guru yang tidak berkelayakan dan tiada tauliah lalu dia menyebarkan secara meluas ilmu atau fahamannya kepada orang ramai.

“Beta melihat penyelesaian terhadap isu ini adalah dengan memberi kefahaman yang betul kepada masyarakat melalui usaha-usaha agensi agama mahupun institusi- institusi terlibat dengan pengajaran Islam yang sebenar,” tegasnya.

Malah, Sultan Sharafuddin menggesa tindakan penguatkuasaan juga perlu dipertingkatkan bagi mengekang fahaman ekstrem dan penularan ideologi sesat yang akan mencemar nama baik Islam di negeri Selangor khususnya

Selain itu, Jabatan Agama Islam Selangor juga (JAIS) diarah memastikan semua penceramah yang menyampaikan pengajaran Islam terutamanya berkaitan akidah, syariah, pengajaran ilmu tasawuf serta pengamalan tarekat mempunyai tauliah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Titah Sultan Selangor lagi, baginda turut mencadangkan agar diwujudkan panduan, silibus khas atau peraturan yang khusus mengenai pengamalan tasawuf dan tarekat di negeri Selangor.

“Usaha itu seiring dengan hasrat beta untuk memastikan negeri dan negara ini terus berkembang maju, makmur, rakyatnya sentiasa hidup di dalam keadaan harmoni, bertolak ansur serta bersatu padu.

“Sehubungan itu, beta menyokong tindakan proaktif pihak berkuasa agama melalui perwujudan undang-undang, pewartaan fatwa, enakmen dan panduan ajaran tasawuf dan tarekat di negeri Selangor ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya