SABAK BERNAM: Karnival Ban Canal yang dimeriahkan dengan sukan air seperti pertandingan kayak, perahu naga, perahu tradisional bermula semalam sehingga Ahad ini memupuk kebersamaan komuniti setempat dalam acara tersebut.
Ini dibuktikan dengan ramai menyertai acara itu bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, malah dari seluruh negara dan pelbagai agensi termasuk institusi pendidikan tinggi (IPT).
Presiden Persatuan Kanu Selangor (SCAN), Izham Hashim berkata, sejak penganjuran sukan air pada Karnival Ban Canal, sukan itu terus berkembang dan mendapat sambutan positif dalam kalangan penggiatnya.
“Tahun depan, saya rancang untuk buka lebih banyak penyertaan untuk pertandingan kayak, bot tradisional dan bot naga. Jadi, program promosi Karnival Ban Canal perlu diperhebatkan,” katanya selepas melepaskan peserta pertandingan kayak pecut di tapak Karnival Ban Canal 2024 di sini, semalam.
Sementara itu, bagi peserta, Nor Ismafara Isnadi, 16, dia amat teruja dengan aktiviti sukan air di Ban Canal dan sudah pun tiga kali menyertainya sejak kali pertama dianjurkan pada 2022 dan berharap ia perlu diteruskan.
“Ini kali ketiga saya sertai pertandingan kayak dalam Karnival Ban Canal. Memang seronok mengayuh di sana, malah amat sesuai apabila Ban Canal itu selain bentuk geografinya yang lurus, ia juga berarus dan meningkatkan kemampuan mengayuh,” ujarnya.
Bagi peserta pertandingan kanu, Muhammad Isma Hakimi Isnadi, 18, memberitahu, bermain kayak atau perahu naga di Ban Canal amat unik kerana berarus dan melatihnya untuk mengayuh dengan lebih kuat.
“Seronok mengayuh kanu tadi sebab arus Ban Canal kuat selain paras air yang tinggi. Baru puas mengayuh kalau arus kuat. Ini pengalaman yang mengujakan sebab tak banyak tempat ada terusan seperti Ban Canal,” kongsinya.
Karnival Ban Canal anjuran Menteri Besar Selangor (MBI) menyasarkan lebih 20,000 pengunjung untuk menyertai pelbagai aktiviti sepanjang program berlangsung selama enam hari bermula Selasa lalu sehingga esok.
Antara aktiviti yang diadakan sepanjang penganjurannya seperti termasuk jualan hasil tani tempatan, wall climbing, flying fox, larian bendang, Jualan Ehsan Rahmah dan saringan kesihatan percuma.
Pada hari ini, acara paling ditunggu-tunggu adalah Larian Santai @ Bendang apabila peserta akan tampil dengan pakaian tradisional berciri lokal. Selain itu, turut diadakan aktiviti pertandingan mewarna, ceramah kesihatan, memancing sepanjang hari.
Manakala pada sebelah malam, pengunjung turut disajikan dengan persembahan artis seperti Zaki Yamani, Aepol Roza, Ameng Spring, Fieya Julia, Aiman Tino dan Ara Johari dalam Konsert Karnival Ban Canal yang menampilkan pengacara Haiza dan Hanif Miswan.
Dalam pada itu, pengunjung Wan Ismail Wan Idrus, 35, dan Nur Haslisa Nor, 40, yang datang dari Klang menganggap Karnival Ban Canal dekat dihati dengan penganjuran aktiviti kerohanian seperti Tazkirah Malam Jumaat, semalam.
“Dalam keseronokan ada program kerohanian. Itu yang saya amat tertarik dengan Karnival Ban Canal. Malah, bila mendengar kisah Firaun, ia menjadi majlis ilmu amat bermakna dan bermanfaat bagi pengunjung,” ujarnya.
Tazkirah Malah Jumaat yang dianjurkan semalam membawakan figura seperti Ustaz Shahrizan Daud At-Turabi, Ustaz Izzhar Nazri dan Moderator, Ustaz Izmir Fareez yang mengendalikan forum bertajuk ‘Firaun Laknatullah’. – UTUSAN