Suami tikam isteri, anak dipenjara enam tahun, dua sebatan - Utusan Malaysia

Suami tikam isteri, anak dipenjara enam tahun, dua sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penghantar makanan dihukum penjara enam tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas selepas mengaku bersalah menikam tangan isteri dan anak kandungnya dengan pisau, empat bulan lalu.

Hakim Norshila Kamaruddin memerintahkan tertuduh, Mohd. Syarifuddin Agussalim, 34, menjalani hukuman berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 28 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Nur Zalikha Idam, 33, dan anak kandung lelakinya berusia enam tahun dengan menggunakan dua bilah pisau di belakang bangunan sebuah kedai serbaneka di sini pada pukul 6 petang, 27 Julai lalu.

Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksima 10 tahun atau denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad HairulIqram Hairuddin mencadangkan hukuman berat sebagai pengajaran bagi kedua-dua pertuduhan.

“Kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah kes serius berikutan membabitkan penggunaan senjata iaitu pisau sehingga mencederakan isteri dan anak kandungnya. Ini juga sebagai pengajaran kepada orang dan kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi,” katanya.

Mohd. Syarifuddin yang tidak diwakili peguam bela itu memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dan berjalan serentak dari tarikh tangkap.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam tahun satu sebatan bagi setiap pertuduhan namun memerintahkan agar hukuman pemenjaraan itu berjalan serentak menjadikan tempoh yang perlu dijalani oleh tertuduh ialah enam tahun.

Mengikut fakta kes, polis menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan mangsa ditikam di bahagian tangan di lokasi kejadian.

Hasil siasatan lanjut mendapati punca pergaduhan adalah disebabkan tertuduh itu tidak mahu menceraikan isterinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya