PETALING JAYA: Status terkini projek 1BestariNet yang pernah disiasat pihak berkuasa antara agenda sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat bertarikh 11 November, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) meminta Menteri Pendidikan menyatakan status terkini projek 1BestariNet dan apakah tindakan undang-undang telah dikenakan terhadap syarikat yang diberikan tender tersebut.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion.
Kementerian Pendidikan pada 2019 disaran menjalankan satu penilaian holistik terhadap keberkesanan projek perkhidmatan 1BestariNet Fasa 2 berikutan pelaksanaannya sebelum ini disifatkan tidak menyeluruh.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, secara keseluruhannya 1BestariNet menyediakan kemudahan jalur lebar dan persekitaran Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) melalui Pelantar Persekitaran Pembelajaran Maya/Virtual Learning Environment (VLE) kepada semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.
Audit pada Oktober 2018 hingga Mac 2019 itu menyatakan bahawa 3,698 daripada 10,185 sekolah tidak pernah mencapai KPI penggunaan Frog VLE pada 2018, manakala hanya 0.8 peratus daripada 423,566 guru telah membangunkan laman pembelajaran dan diterbitkan dalam Frog Store pada 2018.
Dalam pada itu, antara agenda lain sidang Dewan Rakyat adalah isu berkaitan langkah-langkah yang sedang diambil oleh Kementerian Pengangkutan bagi mengatasi semua masalah dihadapi Malaysia Airlines (MAS) kerana sejak kebelakangan ini terdapat banyak aduan, rungutan dan keluhan mengenai prestasi perkhidmatan syarikat penerbangan itu yang semakin tercorot.
Selain itu, antara soalan dibangkitkan adalah analisis perbandingan keberkesanan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berbanding dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta menjelaskan sama ada kerajaan bercadang untuk memperkenalkan semula GST.
Berkaitan mengurangkan beban rakyat, Kementerian Pengangkutan juga diminta menyatakan perancangan untuk menurunkan cukai jalan kenderaan persendirian yang menggunakan bahan api diesel ekoran kenaikan bahan api tersebut.
Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 yang kini bersidang bersidang selama 35 hari bermula 12 Oktober hingga 12 Disember ini. – UTUSAN