SPRM rakam percakapan Vivy Yusof, suami hari ini - Utusan Malaysia

SPRM rakam percakapan Vivy Yusof, suami hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini akan merakam percakapan suami isteri pengasas platform e-dagang fesyen, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar.

Tindakan itu dilakukan bagi membantu siasatan membabitkan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pasangan suami isteri itu akan diambil keterangan hari ini bagi membantu siasatan.

“Setakat semalam seramai empat orang saksi daripada PNB, Khazanah dan Kementerian Kewangan (MOF) sudah dipanggil untuk rakaman percakapan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam SPRM mengambil beberapa dokumen kewangan susulan serbuan di MOF, Khazanah, PNB dan FashionValet.

Azam berkata, dokumen yang diambil itu untuk dikaji dan disemak susulan siasatan kerugian RM43.9 juta daripada pelaburan Khazanah dan PNB dalam FashionValet.

Terdahulu, media melaporkan SPRM menyerbu FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), yang dikaitkan dengan kerugian pelaburan dana Khazanah dan PNB berjumlah RM43.9 juta.

Menurut sumber, selain FashionValet, turut diserbu secara serentak adalah MOF, Khazanah dan PNB.
Siasatan berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 18, Akta SPRM.

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan Madani, Fahmi Fadzil, dilaporkan berkata, rakyat membangkitkan persoalan mengenai kerugian itu hingga pelbagai kandungan berkaitan dimuat naik di media sosial.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, Fashionista Valet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.

Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.

Usahawan fesyen, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar turut memberi respon mengenai isu itu dengan berkata, akan melepaskan jawatan mereka dalam platform e-dagang itu.

Dalam kenyataan bersama yang dimuat naik menerusi akaun Instagram mereka,, pasangan berkenaan berkata, ketetapan itu dibuat susulan isu terkini membabitkan penjualan saham PNB dan Khazanah dalam syarikat itu.

Malah turut memohon maaf susulan kontroversi berkenaan yang menjejaskan PNB dan Khazanah.
Vivy dan Fadzaruddin juga mengakui tidak memiliki perancangan mencukupi untuk FashionValet berdepan risiko cabaran ketika cuba mengembangkan perniagaan secara agresif.

Mereka mengakui melakukan kesilapan dengan mengembangkan perniagaan berdasarkan jangkaan pertumbuhan berterusan, biarpun ketika pandemik Covid-19.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN