SPRM disaran siasat pelaburan Fashion Valet

SPRM disaran siasat pelaburan Fashion Valet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyarankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap isu melibatkan dana awam dan pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

Ini berikutan Khazanah dan Permodalan Na­sional Berhad (PNB) hanya me­nerima hasil berjumlah RM3.1 juta daripada penjualan saham dalam Fa­shion Valet Sdn. Bhd. (Fashion Valet).

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, isu tersebut perlu dipandang serius kerana ia melibatkan dana awam dan institusi pelaburan utama yang mewakili kepentingan rakyat.

Menurut beliau, kegagalan dalam memastikan pulangan pelaburan yang memuaskan menimbulkan persoalan tentang ketelusan dan keberkesanan dalam membuat keputusan pelaburan.

“Kami menggesa pihak SPRM untuk menyiasat pengurusan dan proses pelaburan dalam Fashion Valet yang dilaksanakan oleh Khazanah dan PNB bagi memastikan tiada unsur penyalahgunaan kuasa atau ketidaktelusan dalam pelaburan ini.

“Pelaburan sebanyak RM47 juta yang hanya membawa pulangan sebanyak RM3.1 juta menimbulkan persoalan mengenai ketelusan, keberkesanan dan pertimbangan risiko dalam membuat keputusan pelaburan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Kementerian Kewangan memaklumkan, pada 2018, Khazanah dan PNB telah melabur sejumlah RM47 juta (Khazanah RM27 juta, PNB RM20 juta) untuk pegangan minoriti masing-masing dalam Fashion Valet.

Dilaporkan, pelaburan tersebut merupakan sebahagian daripada mandat Khaza­nah pada waktu itu untuk memupuk usahawan teknologi tempatan dan mendapatkan pendedahan kepada pelaburan dalam sektor e-dagang yang kian berkembang.

Mengulas lanjut, Jais berkata, kawalan ketat dan prosedur penilaian yang lebih teliti perlu dilaksanakan sebelum meluluskan sebarang pelaburan besar terutama dalam sektor yang berisiko tinggi seperti e-dagang.

Katanya, aspek akauntabiliti dan ketelusan juga perlu dipertingkatkan termasuk pendedahan maklumat mengenai pelaburan dan prestasi pelaburan yang dilakukan oleh institusi terbabit.
“Inisiatif ini penting untuk memastikan setiap dana yang dilaburkan digunakan secara berhemah demi melindungi kepentingan awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya