BACHOK: Pusat pemindahan sementara (PPS) pertama di Kelantan yang menempatkan 30 mangsa banjir dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor, di sini kira-kira pukul 6 petang tadi.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, kesemua mangsa yang terdiri daripada 10 buah keluarga itu membabitkan seramai 12 lelaki dewasa, 10 perempuan dewasa, enam kanak-kanak dan seorang warga emas.
“PPS SMK Beris Panchor bagi zon Tawang mampu menampung kapasiti 350 mangsa banjir merupakan pusat pertama yang beroperasi selepas kerja menyelamat dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Bachok, Mohd. Khairi Mat Hussin berkata, pemindahan mangsa banjir dijalankan di Kawasan Perumahan Lembah Budi, Tawang bermula pada pukul 4.30 petang tadi.
Katanya, operasi menyelamat dijalankan secara bersepadu membabitkan anggota APM, polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok.-UTUSAN