PETALING JAYA: Kawalan ketat terhadap syarikat insurans perubatan perlu dilaksanakan termasuk menjadikan skim berkenaan sebagai keperluan sosial dan bukan berteraskan perniagaan semata-mata.
Aktivis kesihatan awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, selain itu kerajaan dalam masa yang sama perlu mewujudkan mekanisme sistem pembiayaan kesihatan kebangsaan termasuk skim insurans kesihatan.
Justeru katanya, skim insurans perubatan perlu melaksanakan transformasi segera bagi membantu rakyat dan aspek kesihatan di negara ini.
“Skim insurans perubatan ini sebenarnya dapat membantu sistem kesihatan awam terutama dalam kemasukan ke hospital kerajaan. Bayangkan sekiranya semua tertumpu di hospital kerajaan, ini pasti akan membebankan dan meningkatkan perbelanjaan.
“Justeru, kerajaan perlu mengawal dan mewujudkan mekanisme sistem pembiayaan kesihatan kebangsaan termasuk skim insurans kesihatan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, polisi insurans perubatan semakin membebankan apabila dijangka naik antara 40 sehingga 70 peratus tahun depan.
Ini berdasarkan notis yang dihantar oleh penanggung polisi kepada pengguna dengan memaklumkan mengenai kenaikan premium itu.
Alasan yang diberikan ialah kos perubatan di hospital swasta semakin mahal.
Dalam pada itu, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, skim insurans perubatan persendirian di Malaysia atau lebih dikenali sebagai private health insurance (PHI) lebih sesuai dilaksanakan di negara yang penduduknya kaya.
“Jika negara membangun dan negara miskin, maka sistem insurans sosial lebih sesuai untuk penduduk umum.
“Manakala untuk mereka yang kaya boleh meneruskan PHI mereka.Lagipun untuk tahun lalu, industri insurans hanya menyumbang sebanyak 1.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),”jelasnya. – UTUSAN