MELAKA: Setia dan berkebolehan melakukan sebarang pekerjaan menjadikan orang diparol (ODP) dan orang bebas berlesen (OBB) menjadi pilihan majikan yang sedang mencari pekerja baharu.
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka, Nur Mohammad Bakhtir Mohamad Akhir berkata, ramai majikan memberikan maklum balas positif dan berpuas hati terhadap prestasi kerja serta disiplin yang ditunjukkan ODP dan OBB.
Katanya, tahun ini seramai 304 banduan telah diterima bekerja dalam pelbagai sektor ekonomi antaranya makanan dan minuman, pengurusan sisa, perladangan serta perkilangan.
“Sebanyak 28 majikan yang kita dekati telah bersetuju untuk mengambil 304 banduan ODP dan OBB bekerja dalam pelbagai sektor. Golongan ini dikatakan setia dengan majikan dan berkebolehan melakukan apa juga pekerjaan.
“Sikap ini memberi kelebihan kepada majikan kerana dapat mengurangkan kadar pusing ganti pekerja. Sebab itu kita kerap mendapat pertanyaan daripada majikan yang berminat mengambil ODP dan OBB bekerja,” katanya ketika ditemui pada Majlis Graduasi Heads Up 2024 di Wisma Perkeso di sini, semalam.
Nur Mohammad Bahktir mengiringi Pengarah Penjara Melaka, Timbalan Komisioner Penjara Rosman Norman menyampaikan sijil kepada 100 ODP dan OBB yang menyertai Heads Up 2024.
Sementara itu, Rosman berkata, Perkeso Melaka memainkan peranan penting dengan memberi saranan kepada majikan yang menawarkan peluang pekerjaan kepada ODP dan OBB.
Menurutnya, majikan yang mengambil ODP dan OBB bekerja turut diberi panduan mengenai faedah perubatan serta tuntutan caruman pencarum.
“Kemasukan semula banduan ke dalam masyarakat amat penting bagi menyesuaikan mereka berasimilasi. Dengan ini menunjukkan masyarakat sanggup menerima mereka kembali sebagai warga yang berguna dan masih produktif untuk menyumbang tenaga kepada masyarakat,” ujarnya. – UTUSAN