Siapa pantau kerja tambakan laut?

Siapa pantau kerja tambakan laut?

KERJA-KERJA pengorekan pasir untuk projek mendalamkan kawasan Penang Port menjejaskan nelayan di perairan Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 2,000 nelayan di perairan Pulau Pinang terjejas berikutan kerja-kerja pengorekan pasir untuk projek tambakan laut yang memusnahkan ekosistem dan tangkapan nelayan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Ja­ring), Mohd. Faizal Mohd. Zabri mendakwa, sebuah kapal yang melakukan kerja-kerja pengorekan pasir itu tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) apabila mereka membuang sisa-sisa buangan di kawasan tangkapan nelayan kecil.

Beliau berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu te­lah memusnahkan pukat-pukat nelayan yang dipasang di perairan yang digazetkan di bawah 5 batu nautika sekali gus menjejaskan hasil tangkapan mereka.

“Projek ini sememangnya diluluskan oleh Kerajaan Ne­geri Pulau Pinang, tetapi mereka membuat kerja-kerja pengorekan tidak ikut SOP dan membuang sisa di sepanjang perairan itu dari kawasan batu Ferringhi hingga ke kawasan mukahead iaitu kawasan nelayan mencari rezeki.

“Pihak Jabatan Laut sudah menetapkan kawasan pembuangan, tetapi mereka me­langgar syarat, pukat nelayan akan sangkut dan koyak sekali gus merugikan nelayan apabila pukat tidak boleh digunakan lagi untuk menangkap ikan,” katanya di sini semalam.

Pada masa sama, beliau mendakwa, terdapat sebuah kapal yang membawa batu-batu bagi kerja penambakan laut itu dibiarkan terbuka dan berisiko jatuh ke laut dan turut menjejaskan pukat-pukat nelayan.

Beliau berkata, kerja-kerja tambakan laut itu juga turut menjadi punca air laut di kawasan peranginan Batu Ferringhi yang kini menjadi kotor dan bertukar hitam kerana dibawa arus ke kawasan pantai.

Selain itu, katanya, Taman Negara bagi pembiakan penyu di situ turut terjejas.
Menurutnya, pihak nelayan sudah membuat aduan kepada Jabatan Laut dengan bukti bergambar dan rakaman video, namun masih tidak ada tindakan diambil.

“Kami menuntut pampasan atas kerugian yang berlaku akibat pukat-pukat rosak, tetapi ia amat sukar untuk diperoleh kerana banyak proses perlu dilalui akibat kerenah birokrasi. Nasib nelayan kecil terus tertindas sedangkan pengusaha besar melaba keuntungan mudah.

“Nelayan hanya mengharapkan rezeki dari laut, tetapi kalau kawasan tangkapan ini tidak dijaga, golongan ini tidak mampu lagi mencari sesuap nasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya