BEIRUT: Serangan udara Israel di kawasan padat penduduk di tengah Beirut semalam, meragut sekurang-kurangnya lima nyawa dan mencederakan 24 orang lain, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Awam Lubnan.
Menurut Agensi Berita Kebangsaan (NNA), sebuah pangsapuri berhampiran pusat ibadat komuniti Syiah menjadi sasaran serangan itu.
Bangunan tersebut terletak berhampiran parlimen, beberapa kedutaan, dan pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Serangan musuh Zionis di kawasan Zuqaq al-Blat di Beirut mengakibatkan lima orang terbunuh dan 24 lagi cedera.
“Dron musuh menyerang sebuah pangsapuri di belakang Husseiniyah Zuqaq al-Blat di ibu negara Beirut, menyebabkan kerosakan besar,” lapor NNA.
Sementara itu, di Tyre, serangan udara Israel menyasarkan kemudahan air utama, mengorbankan dua pegawai tempatan dan mencederakan dua yang lain.
Serangan itu menyebabkan kerosakan teruk, memaksa pihak berkuasa tempatan menggesa penduduk berjimat cermat dalam penggunaan air sehingga pembaikan selesai.
Serangan berlaku di tengah-tengah usaha yang disokong Amerika Syarikat untuk mencapai gencatan senjata antara Israel dan Hezbollah.
Parlimen Lubnan, melalui jurucakap Nabih Berri, dijangka menyampaikan pendirian positif terhadap cadangan tersebut dalam pertemuan dengan utusan AS, Amos Hochstein, esok.
Lubnan melaporkan lebih 3,510 kematian sejak pertempuran antara Israel dan Hezbollah bermula Oktober tahun lalu, dengan majoriti korban dicatatkan sejak September.-AGENSI