PETALING JAYA: Malaysia perlu menggabungkan strategi penambahbaikan saliran, sistem amaran awal, dan pembangunan hijau untuk mengurangkan impak cuaca ekstrem terhadap keselamatan dan ekonomi negara.
Ketua Kumpulan Penyelidikan Hidraulik dan Hidrologi, Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Nor Eliza Alias berkata, langkah mitigasi perlu melibatkan semakan semula terhadap reka bentuk sistem saliran bagi memastikan ia mampu menampung jumlah hujan semasa.
Menurutnya, reka bentuk tersebut juga perlu disesuaikan untuk mengalirkan permukaan air yang semakin meningkat akibat peningkatan kawasan berturap, seperti pembangunan perumahan, kawasan komersil, dan jalan raya.
“Walau bagaimanapun, penyelenggaraan sistem saliran yang tersumbat juga perlu diberi perhatian.
“Halangan seperti sampah sarap, sedimen, tumbuhan, dan daun-daun sering menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan lancar ke dalam sistem saliran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar melaporkan beberapa strategi perlu diatur dalam mendepani cuaca ekstrem dijangka tahun depan.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, kawasan hijau yang wujud secara semula jadi, seperti taman dan hutan bandar perlu diperuntukkan di kawasan perumahan dan bandar mengikut nisbah tertentu.
Jelasnya, formula khusus bagi kawasan hijau perlu dirumuskan berdasarkan kajian pakar cuaca dan perancang bandar bagi memastikan keseimbangan
“Titik panas pun sudah dikenal pasti, jadi amaran dapat disampaikan secara berkesan melalui teknologi komunikasi, yang canggih ketika ini,” ujarnya.