JAKARTA: Indonesia mengharamkan penjualan telefon pintar keluaran Alphabet Inc’s Google, berikutan peraturan baharu yang menetapkan komponen buatan tempatan dalam produk berkenaan.
Larangan ini menyusul beberapa hari selepas penjualan iPhone 16 keluaran Apple turut disekat disebabkan alasan sama.
Jurucakap Kementerian Perindustrian Indonesia, Febri Hendri Antoni Arief berkata, peraturan tersebut menetapkan telefon pintar yang dijual dalam negara mesti mengandungi sekurang-kurangnya 40 peratus komponen buatan tempatan.
“Kami menetapkan peraturan ini untuk memastikan keadilan kepada semua pelabur di Indonesia. Produk Google tidak mematuhi skim yang ditetapkan, jadi ia tidak boleh dijual di sini,” kata Febri, kelmarin.
Tambah Febri, pengguna masih boleh membeli telefon pintar Google Pixel di luar negara, namun perlu membayar cukai yang sewajarnya.
Pihak berkuasa Indonesia juga sedang mempertimbangkan tindakan untuk menyahaktifkan telefon tersebut, sekiranya dijual secara haram di dalam negara.
Sekatan ini turut dikenakan kepada iPhone 16 minggu lalu, apabila model tersebut tidak memenuhi peraturan kandungan tempatan.
Untuk memenuhi peraturan tersebut, syarikat biasanya bekerjasama dengan pembekal tempatan atau mendapatkan komponen daripada pengilang dalam negara.
Indonesia, dengan jumlah penduduk yang besar dan berpengetahuan dalam teknologi, menjadi pasaran utama bagi pelaburan berkaitan teknologi.
Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang, Bhima Yudhistira, menyifatkan langkah ini sebagai perlindungan pseudo yang boleh merugikan pengguna dan menjejaskan keyakinan pelabur.
“Tindakan ini mencetuskan sentimen negatif dalam kalangan pelabur yang ingin melabur di Indonesia,” katanya. –AGENSI