SABAK BERNAM: Kerajaan Selangor akan memfokuskan pembukaan Pasar Raya Ehsan Mart di kesemua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai tahun depan.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Rizam Ismail berkata, inisiatif itu perlu dilakukan bagi membantu meringankan lagi beban kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah terutama di kawasan kampung.
Menurutnya, kerajaan negeri menerusi Belanjawan Selangor 2025 memperuntukkan sejumlah RM30 juta bagi pelaksanaan Jualan Ehsan Rahmah (JER) 2025 dan Ehsan Mart tersebut.
“Tahun depan, kita akan memfokuskan kepada pembukaan 10 pasar raya itu yang menawarkan barangan asas pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
“Namun, JER akan diteruskan seperti biasa dan kita mahu memastikan sasaran 56 DUN mempunyai Ehsan Mart dicapai pada 2026,” katanya selepas merasmikan penutup Program Jelajah Peduli Ummah dan Santuni MadanI, semalam.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan kerajaan Selangor memperuntukkan RM3 bilion bagi Belanjawan 2025 sekali gus meningkat RM470 juta berbanding RM2.53 bilion tahun lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak RM1.7 bilion diperuntukkan kepada perbelanjaan mengurus manakala selebihnya RM1.3 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
Ehsan Mart merupakan sebuah pasar raya milik kerajaan negeri yang akan dikendalikan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
Tambah Rizam, pihaknya menyambut baik peruntukan berjumlah RM24.5 juta yang diberikan bagi pembangunan kawasan luar bandar menerusi belanjawan itu.
“Saya berharap belanjawan kali ini dapat dijayakan sebaik mungkin terutama dalam memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
“Ia disifatkan satu belanjawan yang luar biasa dan cukup baik bagi Selangor tahun depan,” ujarnya. – UTUSAN