Segera bina jalan raya dua lorong Beserah-Kemaman - Mohd. Nazrul Izad - Utusan Malaysia

Segera bina jalan raya dua lorong Beserah-Kemaman – Mohd. Nazrul Izad

MOHD. NAZRUL IZAD MOHD. ARSAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Projek pembinaan dan pelebaran jalan raya kepada dua lorong bermula dari Beserah ke Kemaman, Terengganu perlu segera dilakukan bagi mengurangkan masalah kesesakan serta kemalangan jalan raya di sepanjang laluan berkenaan.

Pengerusi Eksekutif NNA Land, Datuk Mohd. Nazrul Izad Mohd. Arsad berkata, jalan menghubungkan Beserah ke Balok dan Balok ke Gebeng juga sibuk aliran trafiknya.

“Jajaran Beserah ke Balok dan Balok ke Cherating merupakan kawasan pelancongan yang terkenal dan Gebeng pula kawasan perindustrian yang sedang melebarkan jaringannya.

“Jalan dari Beserah yang ada sudah tidak relevan dan mengundang banyak kemalangan jalan raya.

“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu segera menghantar cadangan ini kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan menyelesaikan masalah peruntukan dengan kerajaan Madani,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Nazrul Izad yang juga Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Indera Mahkota berkata, pembinaan jalan raya dua lorong Beserah-Kemaman akan dapat menyelesaikan kesesakan trafik sekali gus memberi keselesaan kepada penduduk sekitarnya.

“Saya berharap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri dapat meneliti dan menyegerakan hal ini demi kepentingan rakyat khususnya di Indera Mahkota.

“Sebenarnya, kesesakan jalan raya ini bukan isu baharu malah menjadi isu lama yang berterusan. Jadi, saya harap isu ini dapat diangkat oleh kerajaan dengan kadar segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN