PETALING JAYA: Peruntukan dana khas untuk menaiktaraf bilik guru di sekolah-sekolah seluruh negara bakal memberi manfaat kepada seramai 416,743 pendidik, sekali gus sebagai tanda penghargaan terhadap dedikasi mereka.
Langkah ini penting untuk menyediakan ruang yang lebih kondusif dan selesa bagi guru-guru yang setiap hari berdepan dengan tanggungjawab besar memastikan pelajar mencapai kecemerlangan.
Pakar Pendidikan, Prof. Madya Dr. Salleh Amat berkata, keperluan untuk ruang rehat yang selesa juga dapat menyumbang kepada produktiviti para guru yang sering menghabiskan masa di sekolah lebih lama daripada jadual rasmi.
Menurut beliau, selain kemudahan asas, penyediaan sambungan internet yang stabil dan berkelajuan tinggi melalui WiFi di bilik guru adalah satu keperluan perlu diberi perhatian.
“Kemudahan WiFi yang baik memudahkan guru memanfaatkan sumber pendidikan digital, mendapatkan maklumat terkini dan berkongsi bahan pembelajaran dengan lebih mudah.
Ia juga membuka peluang bagi guru untuk menggunakan pelbagai platform pembelajaran, termasuk sistem pengurusan pembelajaran (LMS), emel dan aplikasi pendidikan lain yang kini menjadi elemen penting dalam proses pengajaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Media sebelum ini melaporkan Kementerian Pendidikan (KPM) diberi peruntukan sebanyak RM64.1 bilion untuk 2025 berbanding RM58.7 bilion ringgit tahun ini, sekali gus menjadikan ia peruntukan tertinggi dalam sejarah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2025 dilaporkan berkata, sebanyak RM2 bilion diperuntukkan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara.
Mengulas lanjut, Sallesh berkata, KPM boleh menyediakan kemudahan bilik cetak di setiap sekolah untuk kegunaan guru-guru dalam mencetak dan membuat salinan fotostat bagi tujuan pengajaran murid.
Kata beliau, kemudahan ini bertujuan membantu guru dalam menyediakan bahan pembelajaran yang lebih lengkap dan mudah diakses.
“Sekolah akan dilengkapi dengan pencetak serta kertas yang disediakan sepenuhnya oleh pihak sekolah yang membolehkan guru mengakses peralatan tanpa perlu menggunakan kos peribadi.
“Dengan adanya bilik cetak di setiap sekolah, guru tidak perlu risau mengenai kos percetakan yang tinggi dan ini membolehkan mereka lebih fokus dalam proses pengajaran,” katanya.
Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, KPM perlu memberi keutamaan kepada pembangunan prasarana teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah-sekolah serta institusi pendidikan lain di seluruh negara.
Malah, pembekal talian internet boleh dilantik mengikut kesesuaian kawasan institusi pendidikan masing-masing bagi memastikan sambungan internet yang konsisten dan berkelajuan tinggi.
Jelasnya, capaian internet yang stabil adalah penting untuk guru-guru mengakses pelbagai platform digital, menjalankan kelas dalam talian serta mengakses bahan pembelajaran dalam sistem pendidikan masa kini.
“KPM boleh memperuntukkan dana untuk latihan khusus dalam bidang teknologi bagi guru dan kakitangan sekolah.
“Kemahiran dalam teknologi terkini seperti Kecerdasan Buatan (AI) penting untuk guru-guru agar mereka dapat mengikuti kemajuan teknologi yang pesat serta memanfaatkannya dalam proses pengajaran,” jelasnya.
Dalam pada itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Azizee Hassan berkata, KPM perlu melabur dalam pembangunan infrastruktur digital di sekolah-sekolah bagi memastikan kelancaran pembelajaran digital yang semakin penting dalam era pendidikan moden.
Katanya, kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk meningkatkan kemudahan WiFi dan jalur lebar di seluruh sekolah dalam usaha memperkasakan pendidikan negara. – UTUSAN