PETALING JAYA: Pelakon Korea Selatan, Kim Soo Hyun, mahu diingati sebagai lelaki penyayang seperti karakter lakonannya dalam drama popular, Queen of Tears.
Menerusi watak Baek Hyun-woo, Queen of Tears yang ditayangkan pada April telah mencatat rekod baharu apabila menjadi siri paling banyak ditonton di stesen penyiaran TvN mengalahkan Crash Landing on You pada 2019.
“Saya ingin diingati sebagai watak lelaki penyayang seperti dalam projek terbaharu saya iaitu drama Queen of Tears. Saya mahu dikenang sebagai lelaki yang sopan santun seperti itu,” katanya.
Kim ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media konsert ulang tahun Cuckoo ke-10, CuckooTopia Music Fest di Sunway Lagoon, baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, pelakon dengan bayaran tertinggi di Korea Selatan itu juga sedang menjalani penggambaran sebuah drama bertajuk ‘Knock Out’ yang bakal menunjukkan sisi lainnya sebagai anak seni.
“Saya sedang menjalani penggambaran drama ‘Knock Out’ yang akan ditayangkan tahun hadapan. Ia sangat istimewa kerana akan menunjukkan sisi berbeza diri saya
melalui naskhah ini.
“Ia mengisahkan tentang seorang lelaki dan usahawan yang bangkit dari bawah untuk mencapai impian. Ia dekat dengan saya dan sesuatu yang saya lakukan. Saya harap peminat akan teruja menantikan naskhah itu,” tambahnya.
Pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia, Kim turut mengucapkan terima kasih akan sambutan hangat peminat yang diterimanya sejak di lapangan terbang lagi.
“Semalam ada peminat yang sambut kedatangan saya di lapangan terbang. Terima kasih banyak ya. Walaupun hari ini hujan, saya harap anda semua gembira malam ini,” katanya.
Menerusi konsert CuckooTopia pada malam itu, Kim secara rasminya kembali dilantik sebagai duta jenama barangan elektronik rumah selepas 10 tahun.
Turut sama hadir memeriahkan konsert tersebut ialah duta Cuckoo Malaysia, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor dan Phei Yong. -UTUSAN