Satu sekolah setiap negeri sertai Projek Bijak Tani

Satu sekolah setiap negeri sertai Projek Bijak Tani

NAZMI Syahrin Kasmurin (dua dari kiri) bersama Fauzi (kiri) dan Pengetua SMK Mantin, P. Susila (kanan) menunjukan mesin pertanian hidroponik bertenaga solar pada Majlis Perasmian Penyerahan Mesin Hidroponik Berputar di SMK Mantin, Seremban semalam. – UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sekurang-kurangnya sebuah sekolah di setiap negeri disasarkan terlibat dalam Projek Bijak Tani oleh Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC).

Pengarah Kelestarian Korporat MGTC, Nazmi Syahrin Kasmurin berkata, pihaknya berharap perkara itu dapat dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun sebagai usaha memperkasa generasi muda dengan pengetahuan dan kemahiran pertanian lestari.

“Sekurang-kurangnya sebuah sekolah di setiap negeri dapat mengusahakan inisiatif ini kerana secara tidak langsung sekolah boleh menjana pendapatan daripada hasil tuaian yang dibuat,” katanya selepas Majlis Perasmian Penyerahan Mesin Hidroponik Berputar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mantin di sini semalam.

Projek Bijak Tani oleh MGTC ini menggunakan mesin pertanian hidroponik bertenaga solar hasil ciptaan Zull Design Autotranic.

Dijangka seramai 100 pelajar dan tenaga pengajar di sekolah itu dan juga SMK Sungai Burong, Selangor mendapat manfaat daripada projek berkenaan dengan mempelajari teknik penanaman secara hidroponik selain didedahkan dengan amalan pertanian lestari.

Sistem hidroponik berputar adalah teknologi baharu yang dapat meningkatkan kecekapan dan menjimatkan tenaga, malah memaksimumkan penghasilan tanaman di kawasan yang terhad.

Melalui sistem ini, hasil tanaman dapat dituai dengan lebih cepat dan penyelenggaran mesin yang mudah.

Nazmi Syahrin sementara itu berkata, projek berkenaan turut mendapat sokongan agensi seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang menyumbang dana sebanyak RM20,000.

Pengurus Besar Bahagian Operasi PUNB, Fauzi Zakaria pula berkata, sokongan PUNB terhadap projek itu melambangkan komitmen pihaknya terhadap inisiatif kelestarian alam sekitar dan pendidikan pelajar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya