SEREMBAN: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak satu daripada dua representasi yang dikemukakan oleh penceramah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias berkaitan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Seremban.
Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes di hadapan Hakim, Datin Surita Budin di sini hari ini.
Rasyidah Murni berkata, representasi melibatkan mangsa lelaki berusia 17 tahun ditolak AGC dan akan diteruskan untuk perbicaraan dengan pertuduhan asal, manakala representasi bagi mangsa lelaki berusia 16 tahun 10 bulan telah diterima.
Pada prosiding hari ini, peguam Mohamad Zahid Ahmad dan Fahmi Adilah yang mewakili PU Azman, 43, memohon tarikh singkat kepada mahkamah bagi berbincang dengan anak guam tentang pendiriannya berhubung keputusan representasi tersebut.
Mohamad Zahid berkata, setelah mendapat arahan seterusnya kami akan maklumkan pendirian anak guam.
Pihak pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni dan Nurul Balkis Zunaidi.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 Disember depan untuk sebutan bagi status kes tertuduh di Penjara Kajang.
Dalam pada itu, Mohamad Zahid ketika ditemui di luar mahkamah berkata, beliau tidak dapat mendedahkan secara terperinci keputusan representasi kerana tidak mahu mendahului mahkamah dan mahu merujuk kepada anak guam.
Beliau turut berkongsi perkembangan terbaharu PU Azman yang berada dalam keadaan sihat di Penjara Kajang.
“PU Azman pesan supaya doakan dia.. Alhamdulillah dia (PU Azman) okay di Penjara Kajang dan hikmah di sebaliknya dia maklumkan sudah hafal satu juzuk al-Quran di sana,” katanya.
PU Azman dimasukkan ke Penjara Kajang pada 27 September lalu bagi menjalani hukuman 24 tahun penjara dan dua sebatan.