PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak gentar dengan tindakan segelintir ahlinya yang meninggalkan perjuangan kerana kecewa dan tidak berpuas hati dengan pemilihan parti.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak mengetahui alasan pemimpin dan pengikut ingin bertindak sedemikian sebaliknya menasihatkan mereka supaya tidak mengambil langkah terburu-buru sekiranya tidak berpuas hati.
Menurut beliau, tindakan seseorang ahli Bersatu bertindak demikian menyebabkan lebih ramai yang menyertai parti itu.
“Tindakan ini bukan menjejaskan nama baik parti tetapi individu itu sendiri. Apa pun sebagaimana nasihat saya ketika majlis solidariti jelajah negara, saya memperingatkan sebaik mungkin apa-apa isu atau masalah berbangkit sama ada di peringkat sayap, majlis tertinggi perlu dibawa kepada parti.
“Kerana pasti ada Jawatankuasa Pengurusan Parti (JPP) yang akan meneliti perkara itu ataupun kepada Lembaga disiplin jika berkaitan disiplin.
“Kalau ia berkaitan disiplin semua sudah sedia ada, cuma ia adalah soal teknikal dan bukan soal isu besar. Apabila kita mahu keluar dan sebagainya, saya fikir sebaik mungkin janganlah dilakukan namun kita berserah kepada mereka.
“Yang penting bagi saya, parti ini mesti terus berjuang, kalau hari ini ada seorang buat begitu ada lagi 10 orang menunggu untuk ambil alih kepemimpinan. Keberadaan parti di seluruh negara khususnya di Johor mesti terus berjalan,” katanya selepas merasmikan Pemilihan Perwakilan Bersatu Bahagian Pagoh, di Kompleks Geliga Grisek, Pagoh hari ini.
Semalam, satu mesej dihantar menerusi WhatsApp oleh seorang pemimpin bahagian Bersatu Johor untuk mengadakan sidang media bagi mengumumkan keluar parti beramai-ramai.
Dalam pada itu, Muhyiddin menjelaskan partinya pernah mengambil tindakan segera terhadap Jawatankuasa Bahagian Bentong selepas pemimpin mereka mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.
“Kita ada peraturan, jadi kita bentuk jawatankuasa baharu, ramai yang bersedia mahu ambil alih selepas adakan pemilihan semula,” katanya.
Terdahulu, semua bahagian Bersatu di seluruh negara mengadakan persidangan untuk memilih kepimpinan di peringkat tersebut dan pusat kecuali 10 bahagian yang digantung iaitu Hulu Langat, Kota Melaka, Jasin, Tapah, Teluk Intan, Machang, Bukit Mertajam, Bukit Bendera, Tanjong serta Cameron Highland.
Pemilihan juga diadakan untuk menentukan tiga Naib Presiden yang menyaksikan persaingan sengit antara enam calon termasuk Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang berundur setapak daripada jawatan Timbalan Presiden.
Selain itu, Bersatu akan memilih dalam kalangan 80 calon akan bersaing untuk mengisi 20 jawatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
Bagaimanapun seorang anggMuhyiota Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu memaklumkan, keputusan rasmi tidak akan diumumkan segera.
“Keputusannya bukannya hari ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Muhyiddin diumumkan kekal sebagai Presiden manakala Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengisi jawatan Timbalan Presiden, selepas masing-masing menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu bagi 2024-2027.
Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut menang tanpa bertanding jawatan Ketua Srikandi manakala jawatan Ketua Armada dimenangi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham selepas mengatasi pencabarnya, Akmal Zahin Zainal Zahir. – UTUSAN