KUANTAN: Kerana minat, seorang ibu tunggal sanggup menempuh perjalanan. jauh lebih 700 kilometer (km) menunggang RXZ dari Arau, Perlis bagi menyertai Himpunan RXZ Wanita Malaysia di Cherating di sini.
Wanita berkenaan, Sanira Abd. Hamid, 35, berkata, dia bertolak dari Arau kira-kira pukul. 6 pagi Khamis lalu dan sampai di Cherating tengahari semalam.
“Dari Arau, saya bergerak solo dan jumpa rakan-rakan konvoi lain di Jitra, Kedah.
“Saya sertai himpunan ini kerana minat saya kepada RXZ. Saya pun baru sahaja beberapa bulan beli motosikal dan sertai Kelab RXZ Wanita Malaysia.
“Kenapa RXZ, bagi saya baharu nampak ganas, padu macam seorang pahlawan wanita,” katanya ketika ditemui pada Himpunan RXZ Wanita di Dewan Besar Residence Inn Cherating di sini hari ini.
Himpunan anjuran Kelab RXZ Wanita Malaysia itu disertai lebih 300 peserta dari Semenanjung sempena ulang tahun ketiga kelab berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Sabariah Saidan berkata, Pahang sedia mempertimbangkan untuk menjadi tuan rumah pertama bagi menganjurkan Himpunan RXZ Wanita Malaysia.
“Seperti kita sedia maklum, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sentiasa menyokong dan tidak menolak penganjuran sesuatu program yang ingin dilaksanakan di negeri.
“Saya sendiri menyokong dan terpulang kepada pihak penganjur untuk membuat permohonan. Jika ia dilaksanakan, insya-Allah Pahang boleh jadi negeri pertama menganjurkan Himpunan RXZ membabitkan peserta wanita,” katanya.
Sabariah berkata, kerajaan negeri berterima kasih kepada Kelab RXZ Wanita Malaysia kerana memilih negeri ini dan Cherating sebagai lokasi penganjuran himpunan kelab berkenaan.
“Melalui program ini, peserta terlibat dapat melepaskan tekanan selepas penat bekerja, berhimpun dan memenuhi hobi dan minat mereka menunggang RXZ,” katanya. – UTUSAN