KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan telah menerima surat writ saman daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung keputusannya tidak mengosongkan kerusi lima ahli Parlimen yang dipecat parti itu.
Johari berkata, surat writ saman itu bagaimana pun masih belum disemak selepas dimaklumkan menerimanya pada minggu lalu.
“Mungkin di pihak atasan sudah menerima surat writ saman itu tetapi saya belum tengok lagi. Saya akan semak semula. Bagaimanapun saya dimaklumkan ia telah dihantar pada minggu lepas.
“Sudah tentu Peguam Negara (AG) yang akan menjawab saman tersebut bagi pihak kerajaan. Saya serahkan kepada mereka untuk melaksanakannya dan kita lihat apa yang akan berlaku.
“Saya tidak boleh beri komen secara peribadi, saya bertindak di atas landasan undang-undang maka kita perlu selesaikan perkara itu berdasarkan undang-undang. Tidak boleh mengikut perasaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita (EVAW) di Bangunan Parlimen, hari ini.
18 November lalu, Bersatu mengemukakan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 November lalu bagi menuntut perisytiharan keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak mengosongkan kerusi lima ahli Parlimen yang dipecat parti itu sebagai tidak berperlembagaan.
Setiausaha Kerja Bersatu, Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua Whip parti, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee selaku plaintif memfailkan saman itu, melalui firma guaman, Tetuan Chetan Jethwani & Company.
Kedua-dua plaintif menamakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, dan lima ahli Parlimen iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) sebagai defendan pertama hingga keenam.
Menerusi dokumen saman tersebut, memohon perisytiharan antaranya Johari bertindak menyalahi peruntukan nyata Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan apabila secara salah membuat keputusan tidak berlakunya kekosongan luar jangka bagi lima kerusi Parlimen terbabit, melalui surat bertarikh 9 Julai lalu.
Dua plaintif ini turut memohon perisytiharan, bahawa mahkamah berhak memperbetulkan mana-mana tafsiran salah, termasuk tafsiran oleh Johari, atau mana-mana Speaker Dewan Negeri dan Dewan Undangan Negeri.