KUALA LUMPUR: Restoran, Saloma Kuala Lumpur akan memperkenalkan beberapa inisiatif untuk membantu golongan seni yang memerlukan demi mengurangkan beban yang ditanggung mereka.
Menurut Presiden Kumpulan Saloma Kuala Lumpur, Datin Hajah Rosmariza Datuk Haji Che Umar, bagi merealisasikan inisiatif tersebut, pihak beliau akan bekerjasama dengan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).
“Restoran Saloma Kuala Lumpur akan menyemarakkan semangat setia kawan yang menjadi pegangan artis-artis lama seperti Puan Sri Saloma dan Tan Sri P. Ramlee sendiri.
“Inisiatif ini juga merupakan penghormatan kami kepada legenda seni dan budaya negara dan diharapkan nama-nama besar ini akan terus hidup dalam ingatan generasi akan datang, bukan sahaja melalui seni tetapi juga melalui usaha menyantuni mereka yang masih ada bersama kita,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Antara perancangan yang dibuat termasuk menyediakan sumbangan untuk mengisi tabung khas yang akan disediakan di restoran itu bagi membantu insan-insan seni yang berhadapan kesempitan hidup atau menghidapi penyakit.
Pada 23 November lalu, restoran itu turut mengadakan majlis doa Selamat Malam Naungan Rahmat, Limpahan Berkat yang diadakan bagi menghargai artis veteran yang telah banyak berjasa kepada industri seni tanah air.
Antara artis veteran yang menerima bantuan tersebut ialah Zaiton Sameon, Isma Aliff, Sofia Ibrahim, Mak Jah, Shuib Freedom serta golongan kurang bernasib baik seperti anak yatim dan pelajar tahfiz.
Terletak di tengah-tengah ibu negara, Saloma Kuala Lumpur menampilkan gabungan seni kulinari dan budaya warisan Melayu yang turut diinspirasi daripada keunggulan seni Allahyarhamah Puan Sri Saloma dan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Restoran itu direka dengan elemen seni bina klasik Melayu, lengkap dengan dekorasi yang memaparkan era kegemilangan dua legenda seni negara tersebut serta memutarkan lagu ikonik mereka sebagai muzik latar.
Selain suasana unik, Saloma Kuala Lumpur turut menyajikan pelbagai menu istimewa gabungan resipi Melayu tradisional dengan sentuhan moden seperti Rendang Istimewa, Sup Ekor Goreng, dan Aneka Laksa Saloma serta kuih muih.
Restoran yang beroperasi selama 24 jam itu turut dilengkapi dengan ruang jamuan eksklusif untuk majlis peribadi, kemudahan parkir yang luas serta pentas mini yang sesuai untuk persembahan secara “live”.-UTUSAN