BACHOK: Salah faham mengenai permit hiburan dipercayai menjadi punca pembatalan persembahan kumpulan rock tersohor tanah air di Padang Bola Universiti Malaysia Kelantan (UMK) iaitu XPDC pada Jumaat lalu.
Sekretariat Program Jelajah Siswa Pesta Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan Kali Ke-14 (PESKOUMK’14) dalam satu kenyataan sebentar tadi memohon maaf kepada semua pihak susulan pembatalan tersebut.
Katanya, sebagai badan yang bertanggungjawab menguruskan permit hiburan mereka telah mengemukakan permohonan kepada pihak Majlis Daerah Bachok (MDB) sejurus menerima pengesahan senarai nama akhir artis jemputan serta maklumat hiburan daripada penaja iaitu Yaya Empire.
Ujarnya, MDB selaku pihak berkuasa tempatan kemudian telah meluluskan permit hiburan pada 14 November lalu dengan kelulusan bersyarat.
“Ia melibatkan persembahan artis seni dan warisan tempatan Kelantan sahaja tanpa melibatkan nyanyian artis solo dan berkumpulan dari luar Kelantan.
“Hasil perbincangan semula pihak Pengurusan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan MDB pada 2.15 petang tadi memutuskan bahawa program jualan, aktiviti pelajar dan pengisian lain yang
telah dirancang sehingga 22 November 2024 akan diteruskan seperti biasa,” katanya.
Sekretariat PESKOUMK’14 memberitahu, persembahan pentas hanya terhad kepada artis seni dan warisan dari Kelantan sahaja sebagaimana yang dipersetujui.
Katanya, pihak ekretariat memohon maaf diatas apa yang berlaku dan merakamkan ucapan penghargaan kepada rakan kerjasama penganjuran iaitu Yaya Empire dan Bossku Mega Expo kerana telah berjaya menarik
pengunjung ke PESKOUMK’14.
“Kami menzahirkan terima terima kasih kepada pihak Pengurusan UMK kerana menyokong penuh dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Sekretariat Program Jelajah Siswa PESKOUMK’14,” ujarnya.
Terdahulu semalam, tular luahan peminat XPDC susulan pembatalan persembahan kumpulan rock berkenaan disaat-saat akhir.-UTUSAN