SHAH ALAM: Pembangunan semula atau rejuvenasi Shah Alam kepada SA Sentral akan meliputi kawasan Seksyen 13 yang bakal menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.
Ini kerana, pembangunan di Seksyen 13 itu berteraskan konsep Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) ini akan menumpukan kepada inisiatif berteraskan kesihatan, termasuk pembinaan sebuah hospital yang akan dikendalikan oleh anak syarikat PKNS, serta projek ‘assisted living’ yang bertujuan menyediakan kemudahan untuk warga emas.
Selain itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) juga membangunkan kawasan itu dengan konsep kebolehcapaian dengan membina jambatan penghubung di antara tapak dan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) yang terletak di kawasan Stadium Malawati.
PKNS dalam kenyataannya berkata, pelan pembangunan SA Sentral dan Seksyen 13 akan dilaksanakan secara berperingkat secara berfasa dalam tempoh tujuh tahun, dengan komitmen penuh daripada PKNS dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi memastikan ia selaras dengan keperluan komuniti serta hala tuju pembangunan mampan Shah Alam.
“Projek ini bertujuan merealisasikan sebuah pusat bandar bersepadu yang dilengkapi infrastruktur moden serta kemudahan awam yang mampu memenuhi keperluan masyarakat secara menyeluruh.
“Fokus utama projek itu adalah untuk meningkatkan mobiliti dan ruang awam, termasuk laluan strategik yang menghubungkan dari Stesen LRT Dato Menteri ke SA Sentral, di samping menambah baik aksesibiliti serta kualiti kawasan rekreasi.
“Antara komponen utama pembangunan adalah meliputi naik taraf laluan mobiliti dan infrastruktur, penyediaan kemudahan seperti tempat letak kereta, kawasan hijau, serta transformasi landskap kawasan sekitar yang melibatkan galeri seni,” katanya, hari ini.
Tambahnya, SA Sentral dijangka memberikan impak besar melalui penyediaan ruang rekreasi serta akses mobiliti lebih selesa serta efisien sekali gus membuka peluang ekonomi yang luas termasuk penciptaan lebih 1,500 peluang pekerjaan baharu dan pertumbuhan aktiviti komersial.
Terdahulu, PKNS membentangkan membentangkan pelan pembangunan SA Sentral dan Seksyen 13 Shah Alam kepada MBSA yang merupakan inisiatif peremajaan di Seksyen 14 yang dirangka sebagai hab integrasi moden, dinamik dan berdaya saing bagi memberikan gambaran yang jelas berkenaan perancangan keseluruhan projek SA Sentral.
Dalam pada itu, PKNS dalam kenyataan sama memberitahu pembangunan di kawasan seluas 145 ekar itu bakal menyumbang kepada pembangunan perbandaran yang mampan dan inklusif dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM3 bilion.
“Pembangunannya akan merangkumi pembinaan pusat konvensyen bertaraf antarabangsa, hotel, pusat membeli-belah, pangsapuri servis dan pusat perniagaan peruncitan Aneka Walk.
“Di samping itu, sebuah taman awam atau ‘Linear Park’ akan dibina yang menghubungkan pembangunan sedia ada di selatan iaitu Menara U dan Menara U2 terus ke jambatan penghubung stesen LRT,” jelasnya. – UTUSAN