Rumah di Taman Wawasan boleh didiami

Rumah di Taman Wawasan boleh didiami

Ng Sze Han (dua kanan) bercakap dalam sidang akhbar mengenai pemindahan kembali penduduk Taman Wawasan susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan Wawasan, Pusat Bandar Puchong, semalam. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Kawasan kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 16 Disember di Jalan Wawasan 3/9, Taman Wawasan, Puchong di sini sudah boleh didiami oleh sembilan buah keluarga yang terlibat.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, semua sembilan rumah terbabit telah disiapkan sepenuhnya dan keadaan tapak kini diisytiharkan kawasan bebas bencana.

“Pegawai Daerah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) juga telah memberikan pengesahan bahawa kawasan tersebut selamat diduduki lanjutan laporan pengesahan keselamatan dari lawatan tapak ini.

“Kos pembaikan tanah runtuh dan bina semula rumah-rumah tersebut menelan belanja sebanyak RM12.12 juta yang ditanggung oleh pemaju, Wawasan Indera Sdn. Bhd,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Jalan Wawasan 3/9, Taman Wawasan, Puchong yang turut dihadiri oleh Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya, Zulkurnain Che Ali dan Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Ir. Dr. Mohd. Ariffuddin Kamari.

Jelas Ng, sementara kawasan perumahan itu dibaik pulih, penduduk yang terjejas menetap di kuarters yang disediakan pihak MBSJ dan menumpang di rumah saudara.

Sementara itu, Mohd. Ariffuddin berkata, pemulihan kekal dijalankan oleh pemaju termasuk pembinaan semula longkang monsun, penstabilan cerun, pembinaan dinding ‘gabion’ serta pemeriksaan struktur rumah yang terlibat.

“Pada 28 Oktober 2024, lawatan tapak oleh MBSJ serta agensi-agensi teknikal mengesahkan status selamat untuk pendudukan semula di kawasan yang telah pulih sepenuhnya.

“Pihak MBSJ juga diarahkan untuk menyemak parit utama serta semak secara berkala keadaan sepanjang jajaran parit utama dari Tasik Wawasan ke Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

“Sehingga kini kestabilan tanah masih kukuh,” katanya.

Tambah beliau, antara skop kerja yang dijalankan adalah penstabilan semula cerun, pembinaan dinding ‘gabion’, membina semula jalan, perabot jalan dan longkang sisi jalan, membaiki rumah yang terjejas serta membina semula paip.

Terdahulu, pada 16 Disember 2023, kejadian tanah runtuh melibatkan kawasan longkang monsun sedia ada dan cerun di kawasan tersebut berlaku susulan intensiti hujan yang sangat tinggi, 95.5 milimeter (mm).

Insiden itu telah melibatkan runtuhan seluas 2.18 ekar dan mengakibatkan sembilan buah rumah terjejas dengan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna MBSJ, Laman Puteri 3, Puchong.

Empat buah kenderaan turut ditimbus runtuhan tanah , selain tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya