KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) memperuntukkan sebanyak RM330,000 bagi menyediakan platform pendidikan secara dalam talian, GNIUS bersama peranti mudah alih (tablet) kepada 434 pelajar terpilih di negeri ini.
Penerima terpilih terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Ugama Majlis (SMUM), Akademi Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA-MUIP), Kelas Akademi Kecemerlangan Anak Asnaf (AKAF) dan maahad tahfiz serta pondok di sekitar Pahang.
Ketua Pegawai Eksekutif Muip, Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, peruntukan berkenaan merupakan dana wakalah yang dibiayai oleh Syarikat Ivory Task Holdings Sdn. Bhd.
“Dalam konteks pendidikan yang semakin mencabar, menjadi tanggungjawab majlis untuk memastikan setiap lapisan masyarakat terutama mereka yang kurang berkemampuan mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti.
“Hal ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan terhadap pembangunan pendidikan, tetapi juga komitmen dalam menjadikan pendidikan sebagai alat pemangkin perubahan sosial,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pengurniaan Platform GNIUS Dan Tablet kepada Pelajar SMUM dan Anak Asnaf Pahang di Hotel Grand Darul Makmur di sini.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan platform GNIUS dan tablet berkenaan kepada 10 penerima.
Keberangkatan baginda turut diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Ahmad Hairi dalam pada itu memaklumkan, sehingga September lalu, Muip memperuntukkan sejumlah RM27.3 juta dalam sektor pendidikan bagi manfaat anak-anak asnaf Pahang.
Daripada jumlah itu katanya, sebanyak RM20.5 juta diperuntukkan untuk skim bantuan dermasiswa penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan RM5 juta bagi bantuan awal IPT.
“Selain itu, RM878,125 diperuntukkan bagi Sumbangan Bantuan Am Pendidikan kepada 26 Surau Sekolah Rendah dan Menengah, RM245,085 bagi Bantuan Am Pendidikan kepada 54 buah Sekolah Agama Rakyat serta Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), RM259,000 bagi Bantuan Am Pendidikan kepada empat buah sekolah SMUM dan RM326,200 telah diagihkan kepada 119 pelajar dari kalangan anak penerima bulanan asnaf fakir Miskin Pahang yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti awam.
“Muip juga membelanjakan sejumlah RM96,000 bagi bantuan komputer riba kepada 38 anak-anak asnaf untuk memenuhi keperluan pembelajaran di universiti awam dan sebanyak RM320,325 sudah diagihkan kepada 33 pondok dan madrasah dalam usaha MUIP meningkatkan kualiti pendidikan pondok,” katanya. – UTUSAN