Revolusi baharu AI Malaysia

Revolusi baharu AI Malaysia

AI Malaysia
BEBERAPA tahun kebelakangan ini, penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk menjana imej berkembang. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemerkasaan Kecerdasan Buatan (AI) memainkan peranan penting selaras Malaysia pada tahun hadapan akan menjadi Pengerusi ASEAN selepas Microsoft dan Google mengiktiraf dasar AI Malaysia sebagai komprehensif.

Hal tersebut juga menyebabkan sekaligus Google membuat pelaburan pusat data yang bernilai 2 bilion dolar Amerika Syarikat (AS) (RM4.4 bilion).

Malah, berikutan Malaysia menjadi destinasi pilihan utama syarikat-syarikat digital terkemuka di dunia untuk melabur, sebanyak RM185.3 billion pelaburan digital juga dicatatkan berpotensi masuk ke negara ini. 

Penganalisis Teknologi, Muda Muhammad berkata dalam hal ini, perkembangan tersebut menjadikan laporan pencapaian tahun kedua Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat positif.

“Pelaburan digital itu secara keseluruhannya akan membuka ruang dan peluang kerja kepada 64,479 orang. Daripada nilai RM185.3 billion itu, sejumlah RM20 billion adalah pelaburan yang dibawa oleh YTL menerusi NVIDIA. 

“Selain dasar yang komprehensif, Malaysia juga sudah menyediakan keperluan dari segi perisian dan perkasasan untuk membolehkan agenda AI direalisasikan. Microsoft dan Google menyediakan perisian, manakala YTL dan NVIDIA menyediakan perkakasan yang diperlukan untuk memperkasakannya,” katanya kepada pemberita, semalam. 

Tambahnya, antara dasar yang dirangka dan dilihat sebagai komprehensif adalah AI Talent Roadmap for Malaysia (2024-2030) dan Malaysia-Artificial Intelligence Consortium (MAIC). 

“Selain itu kerajaan Malaysia juga menubuhkan National Artificial Intelligence Office dan yang paling utama adalah penubuhan sebuah kementerian khas untuk sektor digital di negara ini iaitu Kementerian Digital,” jelasnya.

Mengulas lanjut tentang pelaburan baharu sebanyak 2 bilion Dolar AS untuk pusat datanya di Malaysia, ia merupakan pelaburan paling tinggi dari Google berbanding Thailand yang hanya menerima 1 bilion Dolar AS. 

Muda berkata, ia bukan pengiktirafan Google terhadap Malaysia buat kali pertama kerana dalam persidangan Google I/O 2013 di San Francisco 11 tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Google, Sundar Pichai memuji inisiatif Malaysia dalam memperkenalkan teknologi Google di sekolah-sekolah. 

“Ini bukan pertama kali Google mengiktiraf Malaysia. Apa yang diperkatakan oleh CEO Google itu adalah kerjasama antara Google, YTL Communications, dan FrogAsia menggunakan Google Apps dan Chromebooks sebagai alat utama untuk memudah cara pembelajaran digital pada waktu itu. Pada masa kini, menggunakan platform DELIMa dan Google’s cloud untuk memanfaatkan 5.5 juta pelajar dan guru di seluruh negara,” ujarnya. 

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella turut mengumumkan pelaburan berjumlah US$2.2 bilion (RM9.8 bilion) untuk memacu infrastruktur awan dan AI Malaysia di Microsoft Build: AI Day pada 2 Mei lalu di Kuala Lumpur. 

Microsoft mengumumkan komitmen terbesar dalam sejarah 32 tahunnya di negara ini apabila pelaburan termasuk usaha membina infrastruktur digital, mewujudkan peluang menguasai kemahiran AI, menubuhkan Pusat Kecemerlangan AI dan mengukuhkan keupayaan keselamatan siber negara

“Kami bertekad untuk menyokong transformasi AI Malaysia dan memastikan usaha ini membawa manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Muda menambah, makluman daripada Presiden Microsoft ASEAN Andrea Della Mattea pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan kerajaan dan memberi sokongan  terhadap Rangka Kerja AI Negara, seterusnya meningkatkan daya saing global Malaysia.

“Kenyataan CEO Microsoft dan Presiden Microsoft ASEAN adalah bukti pengiktirafan dan kepercayaan mereka terhadap Malaysia. 

“Menurut penyelidikan oleh Kearney, AI bakal menyumbang hampir 1 trilion Dolar AS (RM4.4 trilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Asia Tenggara menjelang 2030, dengan Malaysia meraih 115 bilion Dolar AS (RM510.7 bilion) daripada anggaran tersebut,” jelas Muda. 

Malah, bagi mengukuhkan pembangunan AI, NVIDIA sebuah syarikat teknologi multinasional bekerjasama dengan YTL untuk membangunkan pusat data bernilai RM20 billion dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai sumber dan kemampuan menyediakan keperluan serta syarat sebagai sebuah hab AI. 

“Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, NVIDIA menyatakan kesediaan untuk menyokong hasrat  Malaysia menjadi 20 negara teratas terkait AI dan bersetuju membantu membangunkan ekosistem AI di Malaysia menerusi sokongan dalam pembinaan pusat kecemerlangan bagi memudahkan pembelajaran dan penyelidikannya, selain pewujudan sistem Awan AI Malaysia sendiri.

“YTL memulakan pelaburan dalam superkomputer berkuasa H100 terbaru bagi membina sistem Awan AI berpangkalan di Malaysia. Microsoft dan Google menyediakan perisian, manakala YTL dan NVIDIA menyediakan server dan prasarana untuk AI dengan GBU AI  chips dan Blackwell chips. Ini adalah chips yang paling berkuasa sekali di dunia,” ujarnya. 

Jelas Muda lagi, ke semua usaha itu membuktikan Malaysia menerusi YTL membuat pelaburan prasarana yang tepat  bersama dengan NVIDIA dalam membangunkan AI di negara ini.

“Pelaburan itu akan meletakkan Malaysia berada pada landasan betul untuk mencapai sasaran 20 negara terbaik di dunia terkait dengan AI. Malaysia berhasrat menjadi antara 20 negara terbaik berkaitan dengan AI dimana ia  dinyatakan secara jelas oleh Perdana Menteri ketika pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA, Jensen Huang pada bulan Disember 2023. 

“Potensi itu boleh direalisasikan dengan infrastruktur AI bertaraf dunia yang seterusnya akan melahirkan bakat-bakat tempatan yang membangunkan inovasi yang diterajui AI,” katanya. 

Pada hujung 2023, Malaysia menduduki tempat keenam di Asia Timur dalam penyediaan AI oleh Oxford Insight, sementara di ASEAN, Malaysia berada pada kedudukan kedua, iaitu hanya berada di belakang Singapura yang turut berada teratas di Asia Timur. 

Terbaharu, menurut laporan IMF AI Preparedness Index (April 2024) di ASEAN, Malaysia mendapat 0.63 mata berbanding Singapura dengan 0.8, Thailand 0.54, Vietnam 0.48, Indonesia 0.52, Filipina 0.5, Laos 0.33, Kemboja 0.37, Myanmar 0.33, Brunei 0.5. 

Pada tahun 2024, kedudukan Malaysia masih lagi kedua di ASEAN tetapi di peringkat dunia, mengikut Malaysia berada pada kedudukan ke-29, berkongsi indeks mata yang sama dengan Cyprus, UAE, dan Slovenia. 

Namun begitu, kedudukan Malaysia adalah lebih baik berbanding India 0.49, Arab Saudi 0.58, Itali 0.62, Turkiye 0.54, Brazil 0.5 dan Russia 0.56.  Selain Singapura, Malaysia boleh menjadi peneraju utama AI di ASEAN dan rantau Asia ini. 

“Kini Malaysia berada dalam kelompok 30 negara yang terbaik berkaitan dengan AI dan sasaran untuk menjadi antara 20 negara terbaik di dunia dalam AI boleh dicapai dalam masa beberapa tahun akan datang. 

“Dengan kerjasama yang baik dengan syarikat teknologi bertaraf dunia, matlamat untuk menjadikan Malaysia peneraju AI di rantau ini boleh direalisasikan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN