KOTA BHARU: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya untuk ke kedai runcit di Kampung Semut Api, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini sejak Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, laporan kehilangan Che Nor Qurratu Aini Mohd. Zaidi, 14, diterimanya pukul 1.15 tengah hari kelmarin.
“Berdasarkan maklumat ahli keluarga, remaja berkenaan keluar dari rumah untuk pergi ke kedai runcit kira-kira pukul 5 petang pada 7 November lalu.
“Semasa keluar dari rumah, mangsa (Che Nor Qurratu Aini) memakai baju blaus berwarna hitam. Remaja itu berketinggian lebih kurang 150 sentimeter dengan berat badan dianggarkan 60 kilogram dan berkulit sawo matang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mohd. Rosdi memberitahu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh tampil ke balai polis berhampiran atau terus menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mohd. Azmey Mohd Yunus di talian 017-3430221 atau 09-7752200.
Katanya, usaha mengesan orang hilang berkenaan masih dijalankan.