KOTA BHARU: Seorang remaja ditemukan lemas selepas tergelincir ke dalam tali air semasa mandi bersama dua rakannya di Kampung Padang Enggang, di sini petang tadi.
Mayat, Muhammad Faris Muhammad Nor, 14, dijumpai kira-kira pukul 6.30 petang di dasar tali air sedalam kira-kira lapan meter.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim, Ramli Abdullah berkata, mangsa yang dipercayai tidak pandai berenang terjatuh ke dalam tali air itu semasa mandi bersama dua rakannya.
Menurutnya, dua rakannya yang masing-masing berusia 14 tahun menyedari mangsa sudah lemas dan tenggelam di dalam tali air itu.
“Difahamkan, mangsa tergelincir kerana kawasan tebing tali air dipenuhi selut akibat hujan sebelum terjatuh dan tenggelam.
“Mangsa dijumpai kira-kira pukul 6.30 petang selepas Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pengkalan Chepa melakukan selaman selama sejam 15 minit.
“Mayat remaja itu dibawa ke tebing sebelum diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk bedah siasat,” katanya.
Seorang penduduk, Syahida Idayu Rosli, 34, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan oleh anak saudara ya yang bergegas keluar dari rumah.
Menurutnya, anak saudaranya itu memaklumkan ada budak lemas ketika sedang mandi di tali air bersama dua orang rakan sebayanya.
“Saya terus menghubungi talian kecemasan selepas mendapati rakannya berlari dalam keadaan cemas.
“Rakannya turut memaklumkan kejadian itu kepada keluarga mangsa,” ujarnya.
231124-Klt-Lemas Mandi-Done Online
ANGGOTA bomba sedang mengangkat mayat mangsa sebaik ditemui di tali air Kampung Padang Enggang, Kota Bharu, Kelantan-IHSAN BOMBA.
Habis