Ratu rock Ella ‘tawan’ semua generasi - Utusan Malaysia

Ratu rock Ella ‘tawan’ semua generasi

PERSEMBAHAN ratu rock negara, Ella berjaya memukau lebih 5,000 penonton yang hadir bersempena penutupan Festival Konvokesyen (Festkon) Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Ke-19 di Unimap Pauh, Putra, Arau, Perlis semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Meskipun hanya menyanyikan empat buah lagu sepanjang kira-kira 20 minit persembahan bersempena penutupan Festival Konvokesyen (Festkon) Universiti Malaysia Perlis (Unimap), namun ia cukup meninggalkan kenangan istimewa buat lebih 5,000 penonton yang hadir khususnya bagi menyaksikan persembahan ratu rock negara, Ella.

Persembahan bertenaga menerusi lagu-lagu malar segar atau lagu hits yang didendangkan oleh Ella seperti Sepi Sekuntum Mawar Merah, Dua Insan Bercinta, Standing In The Eyes Of The World dan Rama-Rama itu berjaya memukau ribuan peminat yang memenuhi segenap ruang lokasi festival di Unimap, Pauh Putra di sini.

Malah, Ella yang aktif sejak tahun 1980-an itu turut membuat seluruh penonton dalam kalangan semua generasi tersebut khususnya anak-anak muda bernyanyi bersama-sama.

Persembahan Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin,58, itu merupakan kemuncak bersempena Festkon Unimap yang berlangsung selama tujuh hari bermula 6 November lalu.

Antara artis-artis popular lain yang menyerikan Festkon tersebut adalah seperti Zamani Slam yang membuat persembahan pada hari perasmian pembukaan festival itu, kumpulan Kristal, Usop, Nuha Bahrin dan ramai lagi.

Selain persembahan nyanyian daripada artis-terkenal, pelbagai aktiviti menarik lain disajikan sempena Festkon Unimap Ke-19 itu termasuk lebih 60 gerai jualan disediakan.

Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, kehadiran ribuan pengunjung menunjukkan Festkon Unimap telah berlangsung dengan cukup berjaya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pelajar khususnya Pengarah Festkon Unimap, Aliyya Nursarah Mohammad Azwan serta seluruh jawatankuasa penganjur yang telah berusaha gigih dan komited dalam memastikan kejayaan festival berkenaan.

“Festkon bukan sekadar acara bagi meraikan kejayaan siswazah tetapi juga sebagai jambatan dalam menghubungkan universiti dengan masyarakat. Ia adalah selaras dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi yang tidak ingin institusi terisolasi atau terasing daripada persekitaran masyarakat setempat.

“Inilah bukti bahawa Unimap sangat komited untuk merapatkan jurang antara universiti dan masyarakat. Pada masa sama, memupuk dan memperkasakan pelbagai nilai penting seperti kreativiti, kemahiran komunikasi, serta memperkukuh daya kepimpinan dalam diri pelajar,” katanya pada majlis penutup Festkon Unimap di sini, semalam.

Penutupan tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis selaku Canselor Unimap, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor universiti berkenaan.

Istiadat Konvokesyen Unimap ke-19 yang meraikan seramai 3,298 graduan tersebut berlangsung selama empat hari bermula 9 sehingga 12 November.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya