PETALING JAYA: Perbuatan membuli sehingga menimbulkan kepuasan dan keseronokan kepada pelakunya boleh dianggap sebagai seseorang itu sedang mengalami masalah mental.
Ini kerana pembuli merasa seronok untuk membuli dengan tujuan menyakiti orang lain hingga mencederakan mangsa malah ada yang melakukannya berulang kali bagi kepuasan diri.
Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr. Mastura Badzis berkata, perbuatan membuli berlaku berpunca sama ada akibat daripada persekitaran individu atau sifat semula jadi sejak kecil.
Menurut beliau, kebanyakan mereka yang suka membuli merasakan perbuatan itu adalah perkara ‘biasa’ walhal ia satu kesalahan hingga boleh dianggap melakukan jenayah.
“Sifat membuli ini mungkin disebabkan mereka (pembuli) sudah terbiasa atau pernah mengalami dipukul, dilayan dengan kekerasan sehingga merasakan itu tindakan wajar untuk melepaskan perasaan. Tingkah laku membuli juga boleh tercetus disebabkan rasa tidak selamat atau ketidakberdayaan.
“Perbuatan ini dianggap bahaya jika pembuli bertindak sedekimian untuk kepuasan dan keseronokan, ini dianggap satu masalah mental yang sama seperti individu yang suka mencederakan diri sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Mastura berkata, ramai individu tidak diajar untuk mengawal emosi mereka daripada kecil.
Menurutnya, mereka tidak diajar atau dididik tentang tindakan ‘ selamat’ yang perlu dibuat bila dalam keadaan marah atau tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara.
“Semasa kecil, apabila mereka melakukan sesuatu tindakan kasar kerana marah, apa yang berlaku ialah sama ada akan dimarahi teruk atau dipukul
“Justeru, mereka bertindak sedemikian terhadap orang lain dengan melepaskan rasa geram dengan tindakan-tindakan ganas kerana itu yang dilihat di persekitaran setiap hari,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Rusyda Helma Mohd. berpendapat perbuatan membuli berlaku dalam kalangan remaja terutama di sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) akibat kekurangan status sosio ekonomi atau tahap pendidikan.
Katanya, ada antara mereka yang membuli kerana risau sekiranya mereka akan dipinggirkan akibat daripada kekurangan diri seperti kurang bijak atau sebagainya.
“Dalam fasa remaja, mereka yang membuli adalah mereka yang mahu menguasai dan mendapat status dalam kalangan mereka, ingin dihormati oleh kawan dan ditakuti oleh mangsa.
“Namun hakikatnya, pembuli itu adalah dalam kalangan mereka yang mempunyai kadar percaya diri yang rendah kerana kekurangan dari segi tahap pendidikan,” katanya.
Menurutnya, perbuatan membuli dapat ditangani melalui didikan sejak awal iaitu dari rumah
Jelas beliau, institusi keluarga yang mampu memupuk komunikasi sihat dan terbuka dapat menerangkan empati kepada anak-anak.
“Namun ia agak mencabar sekiranya remaja itu tidak dibesarkan dalam persekitaran keluarga yang stabil.
“Peranan sekolah dan pusat pengajian juga amat penting menagani perkara ini terutamanya bagi pendidik untuk menunjukkan contoh yang positif dan tidak menyokong secara langsung atau tidak langsung perlakuan buli kepada pelajar,” katanya. – UTUSAN