Rakaman percakapan Vivy Yusof, suami bersambung pagi ini - Utusan Malaysia

Rakaman percakapan Vivy Yusof, suami bersambung pagi ini

VIVY YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Proses mengambil keterangan pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya bersambung pagi ini.

Menurut sumber, pasangan suami isteri itu dijangka akan diambil keterangan bermula pada 10 pagi ini.

“Semalam mereka selesai dirakam percakapan pada 10.30 malam dan ia akan disambung bagi ini bagi membantu siasatan.

“Proses rakaman percakapan itu adalah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.

Sumber berkata, proses rakaman percakapan mereka semalam berlangsung selama lapan jam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan pasangan itu akan disambung rakaman percakapan mereka pagi ini.

Pasangan suami isteri itu antara enam individu yang dirakam percakapan susulan pegawai penyiasat menyerbu empat lokasi.

Terdahulu media melaporkan SPRM menyerbu FashionValet Sdn Bhd (FashionValet), yang dikaitkan dengan kerugian pelaburan dana Khazanah dan PNB berjumlah RMRM43.9 juta.

Menurut sumber, selain FashionValet, turut diserbu secara serentak adalah Kementerian Kewangan (MOF), Khazanah dan PNB.

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan Madani, Fahmi Fadzil, dilaporkan berkata, rakyat membangkitkan persoalan mengenai kerugian itu hingga pelbagai kandungan berkaitan dimuat naik di media sosial.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.

Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.

Usahawan fesyen, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar turut memberi respon mengenai isu itu dengan berkata, akan melepaskan jawatan mereka dalam platform e-dagang itu.

Dalam kenyataan bersama yang dimuat naik menerusi akaun Instagram mereka malam tadi, pasangan berkenaan berkata, ketetapan itu dibuat susulan isu terkini membabitkan penjualan saham PNB dan Khazanah dalam syarikat itu.

Malah turut memohon maaf susulan kontroversi berkenaan yang menjejaskan PNB dan Khazanah.

Vivy dan Fadzaruddin juga mengakui tidak memiliki perancangan mencukupi untuk FashionValet berdepan risiko cabaran ketika cuba mengembangkan perniagaan secara agresif.

Mereka mengakui melakukan kesilapan dengan mengembangkan perniagaan berdasarkan jangkaan pertumbuhan berterusan, biarpun ketika pandemik Covid-19.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN