Pusat Ikan Hiasan PD, Muzium Tentera Darat wajar dikena caj

Pusat Ikan Hiasan PD, Muzium Tentera Darat wajar dikena caj

PEMBAYARAN masuk ke Pusat Ikan Hiasan Port Dickson boleh menampung kos menambah baik pameran sedia ada bagi menarik lebih ramai pelancong.– UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Cadangan untuk mengenakan bayaran masuk di Pusat Ikan Hiasan dan Muzium Tentera Darat di sini dilihat wajar terutama bagi memberikan lebih keselesaan dan menambah tarikan kepada pengunjung.

Pengunjung, Azree Zubir, 37, berkata, walaupun dari satu aspek tanpa bayaran masuk itu sesuatu yang menguntungkan pengunjung, namun dalam keadaan semasa semua pihak perlu bersifat realistik.

“Walaupun sudah dibuka kepada umum hampir lapan tahun, namun keadaannya tidak jauh berubah walaupun potensinya ada malah sering dikunjungi ramai.

“Bagi saya, wajar untuk dikenakan bayaran masuk berpatutan, sekurang-kurangnya dapat menambah ruang pame­ran serta aktiviti sekali gus memberikan pengalaman menyeronokkan kepada pengunjung terutama kanak-kanak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Baru-baru ini, Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kemasukan secara percuma adalah faktor yang mendorong kehadiran ramai pengunjung setiap hari di Pusat Ikan Hiasan Port Dickson dan Muzium Tentera Darat.

Menurutnya, pada tahun ini, Pusat Ikan Hiasan Port Dickson mencatatkan kunjungan 201,113 orang manakala seramai 154,074 orang pengunjung di Muzium Tentera Darat.

Oleh itu, beliau memaklumkan, kerajaan negeri berpandangan Muzium Tentera Darat dan Pusat Ikan Hiasan Port Dickson wajar mengenakan kutipan fi masuk kepada pe­ngunjung.
Jelasnya, ia bagi membantu menampung segala kos per­belanjaan melibatkan penyelenggaraan serta menambah baik inventori dan pameran.

Sementara itu, Ketua Pusat Pusat Ikan Hiasan Port Dickson, Doreen Wee Siew Leen berkata, sekiranya bayaran masuk tersebut boleh dilaksanakan dengan kelulusan kerajaan Pusat, ia dapat digunakan untuk perolehan ikan-ikan galeri, makanan ikan, peralatan akuarium dan bayaran elaun lebih masa kakitangan pada hujung minggu dan hari kelepasan am.

“Sebelum ini kos banyak digunakan bagi makanan ikan dan penyu yang turut berada di sini selain penyelenggaraan bangunan dan bayaran kerja lebih masa kakitangan. Menerusi fi masuk nanti sudah tentunya pihak kami dapat menambah ruang dan ikan-ikan pameran yang ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya