Provos Marsyal TUDM siasat kematian pelatih Palapes - Utusan Malaysia

Provos Marsyal TUDM siasat kematian pelatih Palapes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cawangan Provos Marsyal, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini sedang menjalankan siasatan terhadap kematian seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) yang dilaporkan meninggal dunia pada 13 November lalu.

Perkara itu disahkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui satu kenyataan hari ini.

ATM berkata, pihaknya mengambil maklum berkenaan laporan berita yang disiarkan oleh media atas talian berkenaan dakwaan seorang bapa terhadap kematian anaknya sewaktu melaksanakan sesi latihan seliaan jurulatih tentera di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Susulan itu, ATM mengesahkan bahawa kes tersebut kini sedang dalam siasatan oleh Cawangan Provos Marsyal, TUDM.

“ATM menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi atau berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat di dalam kes tersebut.

“Tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terlibat jika terbukti bersalah,” katanya.

Selain itu, ATM juga menggesa agar masyarakat memberi ruang dalam menyiasat perkara ini secara tuntas agar keadilan dapat diberikan sepenuhnya kepada pihak yang teraniaya.

“Segala perkembangan hasil siasatan akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa,” katanya.

Media hari ini melaporkan seorang pelatih Palapes universiti berkenaan meninggal dunia pada 13 November lalu selepas didakwa menjalani sesi latihan jerih dan tidak berjadual.

Bapa pelatih tersebut juga mendakwa kejadian itu membabitkan penderaan secara fizikal.

Dalam laporan kepada polis, bapa mangsa mendakwa anaknya mengalami pelbagai penderaan termasuk dipijak dadanya serta dipaksa melakukan pelbagai aksi termasuk seperti kuda dan ditunggang oleh jurulatihnya.

Selain itu, Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, ketika ini pihaknya masih menunggu laporan berkaitan daripada pihak universiti berkenaan sebelum tindakan lanjut diambil.

Sementara itu, UiTM dalam kenyataan memaklumkan akan meneliti semula dan memperkukuh prosedur berkaitan latihan pasukan seragam susulan kematian penuntutnya, yang didakwa akibat menjadi mangsa dera.

UiTM memandang serius mengenai kejadian itu dan menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Siasatan di bawah ATM untuk menjalankan siasatan. UiTM akan memberi kerjasama sepenuhnya berhubung insiden ini.

“UiTM komited dalam memastikan keselamatan dan kebajikan setiap pelajarnya sentiasa diutamakan.

“Sehubungan itu, universiti sudah mengambil langkah proaktif untuk meneliti semula dan memperkukuh prosedur berkaitan latihan dan mekanisme pemantauan berkaitan aktiviti badan beruniform (pasukan seragam),” kata kenyataan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya