PPR jadi asrama pekerja asing

PPR jadi asrama pekerja asing

POKOK liar yang tumbuh di dinding bangunan mencacatkan pemandangan di Program Perumahan Rakyat (PPR) Sri Sabah, Kuala Lumpur. – MINGGUAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga daripada 10 penyewa projek perumahan rakyat (PPR) di Sela­ngor dan ibu negara dikesan mengambil kesempatan untuk meraih untung atas angin dengan menyewakan semula unit mereka kepada warga asing.

Pertubuhan Sewaan Kediaman Kebangsaan (NHRA) mendedahkan, pe­nyewa unit-unit PPR tersebut dida­pati menyewakan semula rumah masing-ma­sing kepada warga asing dengan kadar RM200 sebulan.

Biasanya satu unit disewakan kepada lebih 15 warga asing dengan itu penyewa asal meraih untung mudah hingga RM3,000 sebulan.

Sehingga Mac 2023, terdapat lebih 35 PPR di sekitar Kuala Lumpur dan Sela­ngor. Satu PPR dianggarkan menawarkan sehingga 300 sehingga lebih 1,500 unit rumah, mengikut rekaan bentuk dan kawasan dibinanya.

Pengerusi NHRA, Prakash P. Kalivanan berkata, warga tempatan hanya membayar sewaan PPR kepada kerajaan dengan kadar RM124 hingga RM250 sebulan.

Prakash P. Kalivanan

Kata beliau, warga asing sudah mendominasi PPR tetapi jumlah sebenar tidak dapat dipastikan memandangkan mereka menyewa secara haram dengan warga tempatan, bukan kerajaan.

elas Prakash, situasi tersebut berlaku kerana pemilik atau penyewa PPR lebih memilih untuk menyewakan kepada warga asing bagi meraih keuntungan yang tinggi berbanding warga tempatan.

“Warga asing lebih menguntungkan kerana sewaan mengikut jumlah individu dan mereka sanggup berhimpit di dalam rumah yang kecil sehingga 20 orang dalam satu rumah yang membolehkan penyewa mengutip sewaan sehingga RM3,000 sebulan.

“NHRA mencadangkan agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melaksanakan penguatkuasaan bagi memastikan rumah PPR tidak dijadikan asrama warga asing serta tiada pengubahsuaian penambahan bilik di PPR atau flat kos rendah sehingga ratio penghuni dan keluasan rumah tidak lagi sesuai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

MAMPU

Menurut beliau, PPR adalah inisiatif kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah, khususnya mereka yang tidak memiliki rumah sendiri.

Program ini diuruskan oleh Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Terdapat dua jenis PPR, iaitu PPR Disewa dan PPR Dimiliki. PPR Disewa menawarkan rumah dengan kadar sewa rendah yang kebiasaannya sekitar RM124 sebulan, manakala PPR Dimiliki menjual rumah pada harga mampu milik iaitu bermula sekitar RM35,000 hingga RM45,000.

Sebelum ini, kerajaan telah melarang bagi setiap individu yang menetap di PPR untuk menyewakan kepada warga asing, malah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga memberikan amaran untuk menamatkan kontrak penama sekiranya terbukti berbuat tindakan demikian.

Mengulas lanjut, Prakash berkata, tindakan menyewakan PPR kepada warga asing akan mengundang pelbagai masalah.

“Antara masalah sosial yang dibawa oleh warga asing seperti vandalisme, pelacuran, jenayah jalanan seperti ragut, curi, rompak serta menjatuhkan menjatuhkan nilai hartanah,” katanya.

Beliau berkata, kebanjiran warga asing di rumah PPR atau flat kos rendah adalah disebabkan kegagalan majikan untuk menyediakan asrama yang bersesuaian untuk mereka.

PENGUATKUASAAN

“Hal ini boleh dielakkan dengan penguatkuasaan daripada jabatan yang terlibat yang perlu memastikan majikan menyediakan kediaman yang mencukupi sebelum diberi kelulusan pengambilan pekerja asing.

“Tindakan tegas juga perlu dikenakan jika didapati menggunakan sewaan kediaman seperti PPR sebagai asrama pekerja asing.

“Kerajaan boleh mengenakan undang-undang yang lebih ketat kepada pembeli rumah subsidi ini kerana jelas mereka telah melanggar tujuan asal penjualan PPR atau flat kos rendah kepada mereka,” katanya.

Berikutan itu, beliau menggesa tindakan segera diambil untuk membendung masalah tersebut bagi memastikan PPR mencapai tujuan asalnya iaitu untuk membantu warga tempatan yang kurang berkemampuan untuk memperoleh rumah, bukan menjadi asrama buat warga asing.

Katanya, antara langkah boleh diambil adalah melakukan penguatkuasaan kepada majikan yang menggaji warga asing supaya mereka menyediakan asrama mencukupi dan penguatkuasaan kepada penyewa PPR itu sendiri bagi memastikan tiada aktiviti menyewakan semula berlaku.

“Selain itu, mewujudkan akta untuk memastikan pembeli rumah subsidi PPR atau flat kos rendah tidak mengambil kesempatan beralih daripada objektif asal penyediaan rumah oleh kerajaan untuk membantu golongan mereka memiliki rumah, dengan menyewakan semula rumah tersebut kepada penghuni lain termasuk warga asing.

“Wujudkan juga Akta sewaan kediaman bagi menangani kes sewaan kepada warga asing yang tidak sepatutnya berlaku di perumahan subsidi yang disediakan oleh Kerajaan kepada golongan B40,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya