JASIN: Sungai Rambai Aerodrome di Kampung Tasek di sini yang terbiar tidak beroperasi boleh dijadikan sebagai hab rekreasi dan pembangunan bakat penerbangan dalam kalangan golongan muda.
Presiden Kelab Rakan Udara Malaysia (KRUM), Azhar Selamat berkata, ini kerana aerodrome itu lengkap dengan menara kawalan dan mempunyai landasan yang sesuai.
Menurutnya, ketika ini KRUM tidak mempunyai lokasi yang sesuai, walaupun beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor kerana lokasi itu masih digunakan pesawat komersial.
“KRUM merupakan platform pemerkasaan kokurikulum pendidikan dan pembangunan generasi muda Malaysia dalam bidang penerbangan, aeroangkasa, angkasa lepas dan automasi dron sejak 2014.
“Aerodrome itu dilihat sesuai kerana telah mendapat pengiktirafan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan sebelum ini turut diiktiraf sebagai lapangan terbang sokongan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM).
“Aktiviti yang dikendalikan KRUM sangat terhad kerana kita tidak mempunyai lokasi yang sesuai. Kalau ada pun seperti di Senai dan Subang sukar untuk menganjurkan sebarang aktiviti,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.
Kata Azhar, Sungai Rambai Aerodrome amat sesuai dijadikan hab rekreasi dan pembangunan bakat penerbangan kerana ia jauh dari taman perumahan dan penempatan.
Jelasnya, KRUM akan mengemukakan permohonan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh untuk menggunakannya sebagai tempat latihan dan aktiviti penerbangan golongan muda.
“Di sini kita boleh anjurkan pelbagai aktiviti seperti latihan asas penerbangan dan pengendalian dron khusus kepada pelajar sekolah terutama di Melaka yang paling aktif berbanding negeri-negeri lain,” ujarnya. – UTUSAN