KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang memperkenal polisi skrap bagi menangani lambakan kenderaan usang dalam negara melibatkan lebih 7 juta unit setakat laporan 2022.
Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan berkata, beliau juga mencadangkan kerajaan agar menawarkan subsidi pembelian kenderaan baharu atau pengecualian tertentu bagi pemilik yang menamatkan kegunaan kenderaan usang.
“Lambakan ini bukan sahaja membebankan infrastruktur jalan raya, malah menyumbang kepada pencemaran dan juga peningkatan risiko kepada jalan raya.
“Cadangan penambahbaikan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) adalah menjalankan polisi skrap kenderaan. Kerajaan boleh memperkenal sistem atau skim insentif bagi pemilik kenderaan lama untuk menamatkan penggunaan kenderaan usang mereka seperti menawarkan subsidi pembelian kenderaan baharu atau pengecualian tertentu.
“Kedua, meningkatkan pemeriksaan keselamatan. Di Jepun pemeriksaan berkala yang lebih ketat diwajibkan bagi kenderaan berusia lebih 10 tahun,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa MOT di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, kerajaan boleh mengambil contoh pengurusan kenderaan usang di Singapura dan Jepun bagi menangani lambakan itu.
“Mengambil contoh Singapura, selepas 10 tahun, pemilik kenderaan dipilih untuk menamatkan riwayat kenderaan ataupun membayar sejumlah wang untuk menyambung pemilikan dan penggunaan kenderaan itu.
“Polisi ini memastikan kenderaan yang digunakan di jalan raya adalah kenderaan yang baik, efisien, moden dan mesra alam.
“Contoh kedua seperti Jepun. Pemilik perlu menjalani pemeriksaan keselamatan kenderaan setiap tiga tahun selepas membeli kenderaan berkenaan. Kenderaan berusia lebih daripada 10 tahun mesti melalui pemeriksaan yang ketat demi memastikan keselamatan dan juga mengelakkan lambakan kenderaan,” katanya.