Polis siasat dakwaan pemberi maklumat rasuah diugut bunuh - Utusan Malaysia

Polis siasat dakwaan pemberi maklumat rasuah diugut bunuh

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menjalankan siasatan berkaitan ugutan bunuh diterima pemberi maklumat skandal rasuah membabitkan sebuah negeri susulan menerima ancaman itu melalui panggilan aplikasi WhatsApp kelmarin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, lelaki berusia 36 tahun bekerja yang kontraktor pembinaan itu menerima ugutan terbabit pada 11.02 malam, kelmarin ketika berada di sebuah restoran di ibu negara.

Menurutnya, mangsa dihubungi seorang lelaki selama 16 saat dan mendakwa dia dari kumpulan pembunuh upahan serta menerima arahan untuk membunuhnya dalam tempoh 24 jam jika enggan menutup mulut berkaitan isu rasuah terbabit.

“Malah suspek juga menghantar dua keping gambar pistol bersama peluru dan sekeping gambar orang ditembak dan terbaring di atas jalan.

“Mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Sentul untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Razarudin berkata, kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).

Terdahulu, media melaporkan pemberi maklumat skandal rasuah yang mendapat perhatian selepas mengutus surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta campur tangannya berhubung permintaannya untuk perlindungan dan kekebalan undang-undang di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 tampil membuat laporan polis.

Pemberi maklumat mendakwa mempunyai lapan video menunjukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berbincang mengenai wang.

Dia mendakwa bahawa ia adalah rasuah yang diberikan sebagai pertukaran untuk sokongan mereka untuk projek di negeri terbabit.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya