Polis nafi dakwaan gagal siasat kes palsu dokumen

 Polis nafi dakwaan gagal siasat kes palsu dokumen

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan hantaran di media sosial TikTok ‘Abuismailabuyaziz’ yang mendakwa kegagalan siasatan kes pemalsuan dokumen adalah tidak benar dan berniat jahat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, satu laporan polis telah diterima pada 1 November 2021 di Kuala Kedah berkenaan kes terbabit dan siasatan dibuka mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

Katanya, dokumen yang dipertikaikan dan sampel tandatangan pengadu telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis.

“Bagaimanapun, pihak Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan perbandingan tidak dapat dibuat memandangkan sampel yang dibekalkan oleh pengadu kes berkenaan tidak mencukupi selain pengadu juga gagal membekalkan sampel tandatangan tambahan yang diperlukan.

“Kertas siasatan kemudian telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Kedah dan memutuskan kes tiada tindakan lanjut (NFA) pada 20 April 2022,” katanya dalam kenyataan, hari ini..

Beliau berkata, polis kemudian menerima laporan baharu pada 15 September lalu berkenaan dakwaan wujudnya pemalsuan perintah mahkamah. 

Katanya, semakan daripada pihak mahkamah mendapati bahawa perintah mahkamah yang dipertikaikan itu sebenarnya adalah tulen. 

“Ini bermakna dakwaan dibuat individu terbabit bahawa penghakiman palsu seperti yang dinyatakan di akaun TikTok berkenaan adalah tidak benar dan berniat jahat.

“Polis menyangkal tuduhan pemilik akaun TikTok terbabit bahawa tiada siasatan dijalankan ke atas laporan yang dibuat oleh pengadu,” ujarnya.

Tegas Ramli, siasatan sewajarnya telah dijalankan selaras dengan undang-undang dan keputusan telah dibuat oleh Jabatan Peguam Negara berpandukan hasil analisis dokumen serta dapatan siasatan.

“Hanya disebabkan keputusan tidak berpihak kepada pengadu, tidak wajar untuk melabelkan pihak penyiasat sebagai zalim dan jahat.

“Orang ramai yang menonton video terbabit dinasihatkan agar tidak merujuk sesuatu kes atas fakta yang tidak tepat,” katanya.

Sebelum itu, satu rakaman video yang dimuat naik pada 31 Oktober lalu di akaun TikTok terbabit menyatakan ketidakpuasan hati terhadap siasatan yang dijalankan polis mengenai kes pemalsuan dokumen.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya