PETALING JAYA: Polis memohon orang ramai yang menyaksikan kemalangan membabitkan seorang kanak-kanak menunggang basikal di Jalan Stesen Kurang, Sungai Buloh semalam tampil membantu siasatan.
Kemalangan pada pukul 4.51 petang membabitkan kanak-kanak berusia 10 tahun.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Menurutnya, kanak-kanak berkenaan mengalami pendarahan di kepala dan kini menerima rawatan di hospital.
“Pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengesan jika terdapat kenderaan lain terbabit kejadian itu.
“Pihak polis meminta saksi kejadian tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian 03-61561222 atau Sarjan Mohd Piddie Firdaus Renjis di talian 013-8322290 bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi tidak tepat mengenai kejadian berkenaan.