Plat Madani: JPJ, MOT diminta bayar RM1.3 juta - Utusan Malaysia

Plat Madani: JPJ, MOT diminta bayar RM1.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) dituntut membayar ganti rugi sebanyak RM1.3 juta kerana melanggar hak cipta penghasilan plat MADANI.

Tuntutan tersebut dibuat oleh ahli perniagaan, Hasan Azhari Hashim yang juga Pengarah Program Ilham Madani Sdn. Bhd. dan perlu dilunaskan dalam tempoh tujuh hari daripada penerimaan surat tuntutan bertarikh 4 November lalu.

Menurut surat tuntutan yang dikeluarkan oleh firma guaman, Tetuan Raj & Sach mewakili Hasan menyatakan anak guamnya telah mendaftarkan secara sah karya hak cipta “Kertas Kerja Mewujudkan Nombor Plat Khas Kenderaan Bersiri Madani 1 Sehingga Madani 9999 Untuk Didaftarkan Di Malaysia” pada 26 Februari 2023.

Selepas pendaftaran tersebut, Hasan melalui syarikatnya telah mengemukan beberapa surat dan kertas cadangan kepada Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan bermula 27 Februari 2023 dan April lalu.

Bagaimanapun, surat dan cadangan tersebut telah ditolak atas alasan terdapat ketetapan sedia ada yang tidak lagi membenarkan pengeluaran Nombor Pendaftaran Khas (NPK) kepada pihak syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain entiti selain JPJ.

Namun, sekitar Oktober lalu, JPJ telah mengeluarkan notis Notis Awam Nombor Pendaftaran Istimewa Siri MADANI dengan harga bidaan minimum bermula RM100.

Berdasarkan laporan media, penjualan nombor plat khas itu telah mengutip jualan sebanyak RM2.6 juta.

Sehubungan itu, Hasan mendakwa tindakan JPJ itu bertentangan dengan surat agensi terbabit bertarikh 31 Oktober 2023 dan 6 Februari lalu yang menolak cadangan syarikat Ilham Madani untuk mengeluarkan nombor plat berkenaan.

“Pihak JPJ dan MOT telah mengguna pakai idea anak guam kami dan Karya Hak Cipta tersebut secara tidak sah yang merupakan pelanggaran jelas terhadap hak cipta anak guam kami. Tindakan ini merupakan pelanggaran langsung di bawah Akta Hak Cipta 1987.

“Anak guam Kami mendapati bahawa pihak JPJ dan MOT telah melanggar hak intelek dengan menggunakan, menyalin, mengedar, dan/atau mengubah tanpa kebenaran Karya Hak Cipta tersebut dengan menjual nombor pendaftaran khas kenderaan “MADANI 1-9999”.

“Justeru, akibat daripada tindakan menyalahgunakan dan melanggar hak harta intelek dan hak cipta, anak guam kami telah dan terus mengalami kerugian kewangan serta kerosakan reputasi yang ketara,”kata surat tuntutan tersebut.

Sehubungan itu, Hasan menuntut pampasan yang tidak dinyatakan jumlahnya bagi kerugian yang ditanggung olehnya akibat pelanggaran karya dan hak cipta itu.

Turut dituntut ialah ganti rugi RM1.3 juta iaitu separuh daripada hasil penjualan nombor plat khas MADANI.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya