SUNGAI GOLOK, THAILAND: Seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan bersama lima individu yang ditangkap bersama 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok, Thailand pada Jumaat lalu dibawa ke Mahkamah Wilayah Narathiwat hari ini untuk prosiding reman.
Tiga suspek lelaki dan tiga wanita itu menaiki trak polis sebelum meninggalkan pekarangan Balai Polis Sungai Golok untuk dibawa ke mahkamah berkenaan yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Sungai Golok.
Selain itu, puluhan ahli keluarga dan rakan-rakan kepada kesemua suspek yang datang dari Malaysia dilihat turut hadir di balai polis itu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kol Pol Jedsadavit Ingprapan berkata, keenam-enam suspek itu dihantar ke Mahkamah Wilayah Narathiwat untuk mendapatkan perintah tahanan lanjut.
Katanya, kesemua suspek akan ditahan di mahkamah sehingga siasatan berhubung kes memiliki pil kuda dan memasuki Thailand tanpa dokumen sah selesai.