SEREMBAN: Dua gol pada minit akhir oleh PDRM FC menghampakan Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk meraih kemenangan pertama di gelanggang sendiri musim ini.
Dalam aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, malam ini, PDRM menang dengan keputusan 2-1.
Perlawanan tampil rancak sejak awal perlawanan walaupun terganggu dengan cuaca hujan dan padang sedikit lecak.
Kedua-dua pasukan saling melakukan asakan namun buntu memperoleh gol sekali gus sehingga tamat separuh masa kedudukan kekal terikat tanpa jaringan.
Memasuki separuh masa kedua, gol yang dinanti akhirnya muncul pada minit ke-68.
Ia apabila pemain tengah Negeri Sembilan, A. Selvan menewaskan beberapa orang pertahanan pelawat lalu merembat kencang menewaskan penjaga gol PDRM, See Tian Kiat.
Pada minit ke-79, tuan rumah berpeluang menambah gol namun ketua pasukan, Annas Rahmat gagal menyudahkannya walaupun hanya berdepan satu lawan satu dengan Tian Kiat.
Semuanya berubah pada penghujung perlawanan apabila pemain gantian, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak berjaya menanduk masuk bola hasil hantaran Ifedayo Olusegun Patrick Omasuyi untuk gol penyamaan pelawat.
Tidak lama selepas itu, Ifedayo Olusegun menjadi wira pasukannya apabila dia mudah menyempurnakan hantaran Bruno Junichi Suzuki Castanheira untuk gol kedua yang juga jaringan kemenangan perlawanan buat PDRM.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi untuk perlawanan kedua pada 29 November ini di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor.-UTUSAN,