JERANTUT: Komponen Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan Perpaduan Pahang ditawarkan pelantikan seramai 51 ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri ini tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Rizal Jamin berkata, selaku Pengerusi Jawatankuasa Perundingan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, beliau sudah memuktamadkan beberapa perkara antaranya berhubung lantikan ahli majlis PBT.
“PH turut ditawarkan 40 pengerusi jawatankuasa Kampung Baru Cina daripada 63 kampung baru di negeri ini dan akan diagihkan antara ahli dalam komponen.
“Proses pelantikan jawatankuasa kampung tradisional (Kampung Melayu) bagi menguruskan dan mentadbir 580 kampung juga akan dimuktamadkan dan bakal diselesaikan menjelang akhir tahun ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Deepavali Kelab Pemacu Masyarakat Jerantut di sini.
Rizal yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri selanjutnya berkata, proses perundingan bagi lantikan tersebut dilakukan dalam suasana penuh setia kawan dan menjunjung semangat kerajaan Perpaduan.
Katanya, kerjasama tersebut begitu signifikan sebagai kekuatan serta mengukuhkan lagi pentadbiran kerajaan Perpaduan di negeri ini untuk berdepan tentangan pembangkang. – UTUSAN